suria

Najib harap saingan politik berlangsung secara sihat

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap agar persaingan politik yang sedang berlaku ketika ini terkawal dan berlangsung secara sihat.

Najib menggesa seluruh rakyat Malaysia yang bertemu rakan taulan ketika menyambut Aidilfitri untuk menganjurkan persefahaman kerana hakikatnya mereka menaruh harapan tinggi kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk kekal stabil bagi melaksanakan mandat yang diberi.

Walaupun tidak lagi memegang jawatan pemimpin nombor satu negara, Najib tetap mahukan rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan sejahtera tanpa perlu  bersangka buruk sesama sendiri hanya kerana perselisihan politik antara satu sama lain pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Sehubungan itu, bersempena bulan Syawal ini, beliau mengajak rakyat untuk membuka lembaran baharu dengan melupakan kisah lampau dan saling bermaaf-maafan.

“Memang kita tahu pada masa itu tentunya terdapat perselisihan antara keluarga, rakan dan taulan sehingga ada yang terguris hati.

“Peralihan kuasa yang berlaku sebelum Ramadan berjalan dengan aman dan kita sekarang dipimpin  kerajaan yang baharu,” katanya dalam satu catatan sempena Aidilfitri di laman Facebook pada Jumaat.

Sementara itu, Najib yang merupakan Anggota Parlimen Pekan menyifatkan Ramadan tahun ini amat berbeza dengan Ramadan terdahulu memandangkan beliau dan rakan-rakan seperjuangannya tidak lagi  berkhidmat dalam kerajaan. - Bernama

Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain