suria

Lebih baik ketua hakim negara, presiden Mahkamah Rayuan letak jawatan secara baik

PETALING JAYA: Penasihat DAP, Lim Kit Siang (gambar) menggesa ketua hakim negara, Tun Md Raus Sharif dan presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin untuk meletakkan jawatan secara baik.

Kit Siang berkata, Raus dan Zulkefli perlu letak jawatan bagi membawa "krisis perlembagaan" ke atas dua jawatan tertinggi kehakiman itu berakhir.

Pelantikan semula Raus dan Zulkefli ke jawatan masing-masing mencetuskan kontroversi, kerana tempoh perkhidmatan mereka dilanjutkan selepas mencapai umur persaraan mandatori 66 tahun dan enam bulan.

"Apabila Raus dilantik semula sebagai Ketua Hakim Negara, beliau berkata pelantikannya sebagai Ketua Hakim adalah "belum pernah berlaku", tetapi berperlembagaan.

"...sentiasa ada kali pertama untuk segala-galanya, dan apabila sesuatu berlaku untuk kali pertama (pelantikan tersebut), ia mencetuskan banyak perbezaan pendapat," kata Kit Siang.

Beliau berkata bahawa kritikan terhadap pelantikan semula mereka timbul dengan "undang-undang dan pendapat orang awam".

Kritikan itu termasuk daripada bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad; bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram; bekas peguam negara, Tan Sri Abu Talib Othman; bekas menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim, serta Badan Peguam Malaysia.

"Peletakan jawatan secara baik oleh Raus dan Zulkefli akan membolehkan sebuah permulaan yang baik untuk pembaharuan kehakiman dan undang-undang yang sangat diperlukan di negara ini dapat dilaksanakan," kata Lim.

Pada 2017, Pakatan Harapan mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan campur tangan Baginda untuk menghentikan pelantikan semula Raus dan Zulkefli yang tidak berperlembagaan.

Pelanjutan perkhidmatan itu juga dicabar di mahkamah oleh Badan Peguam Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Lim Kit Siang

Artikel Lain