suria

Daniel Tajem, bekas Timbalan KM Sarawak meninggal dunia

Daniel Tajem.

KUCHING: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Daniel Tajem meninggal dunia di kediamannya di Jalan Urat Mata, Tabuan Jaya di sini, Ahad.

Menurut isterinya, Datin Seri Ivy Tajem, pemergian suaminya amat mengejutkan kerana penyakit kencing manis mendiang adalah terkawal dan tidak pernah mengalami masalah jantung sebelum ini.

Beliau berkata, awal pagi Ahad suaminya mengadu sukar bernafas dan beliau meminta anaknya membawa mendiang berjumpa doktor.

Bagaimanapun, katanya, mendiang menghembus nafas terakhirnya pada kira-kira jam 7 pagi.

Mendiang Tajem, 82, yang juga bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, meninggalkan tiga anak dan tujuh cucu.

Beliau dilantik sebagai timbalan ketua menteri pada 23 Mac 1981 hingga 1987.

Mendiang merupakan orang Iban pertama menjadi peguam selepas menamatkan pengajian dalam jurusan undang-undang  dari Victoria University, di Wellington, New Zealand.

Beliau menceburi bidang politik pada tahun 1973 apabila menyertai Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan pada pilihan raya negeri tahun  berikutnya, beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga dan berjaya mempertahankannya untuk penggal kedua pada 1979.

Berikutan krisis dalaman parti pada 1981, mendiang dan Tan Sri Leo Moggie keluar parti dan mengasaskan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pada 1983.

PBDS dibubarkan pada 2003 akibat krisis dalaman parti, yang menyaksikan Tan Sri James Jemut Masing yang pernah menganggotai parti itu kemudiannya menubuhkan Parti Rakyat Sarawak (PRS).  

Kini, Masing adalah Timbalan Ketua Menteri Sarawak. - Bernama

Daniel Tajem

Artikel Sebelum

Artikel Lain