suria

Bekas Adun Karamunting letak semua jawatan dalam LDP

SANDAKAN: Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Karamunting (Adun) Datuk Charles O Pang Su Pin meletakkan semua jawatan dalam Parti Liberal Demokratik (LDP) dengan serta-merta.

Beliau yang merupakan Ketua Bahagian LDP Elopura dan anggota Majlis Tertinggi LDP mengumumkan keputusan itu dalam mesyuarat Bahagian LDP Elopura pada Rabu.

Charles dalam kenyataannya di sini pada Khamis berkata keputusan itu turut disertai 18 anggota Jawatankuasa Bahagian LDP Elopura termasuk timbalan ketua bahagian, dua naib ketua bahagian, ketua pemuda dan ketua wanita.   

Menurutnya keputusan itu dicapai selepas mereka mengadakan mesyuarat bahagian itu, Rabu.

"Saya bangga telah berkhidmat kepada parti (LDP) sejak menjadi anggota pemuda LDP Bahagian Karamunting pada 2001 dan gembira untuk meninggalkan legasi itu," katanya.

Charles juga merupakan anggota LDP seumur hidup dan bekas Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Sandakan.

Menurutnya surat peletakan jawatan parti itu telah dihantar kepada Setiausaha Agung LDP Datuk Ir Yong Wui Chung.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-18, 9 Mei lepas, Charles yang hanya satu penggal menjadi wakil rakyat di DUN Karamunting pada 2013 tidak dinamakan semula untuk bertanding di kerusi itu dan digantikan oleh Naib Presiden LDP Lim Kai Min.

Lim kalah kepada calon Parti Warisan George Hiew Vun Zin dengan majoriti undi 3,848. - Bernama

Charles O Pang Su Pin

Artikel Lain