suria

Pasukan Khas Siasatan 1MDB bermesyuarat esok

KUALA LUMPUR: Pasukan khas yang ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB akan bermesyuarat esok, kata Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai pasukan tersebut.

"Kami akan bermesyuarat esok dan akan bercakap kepada pemberita kemudian," kata bekas Peguam Negara (AG) itu ketika ditemui pemberita sebaik sahaja keluar dari Menara Ilham dekat sini, Isnin.

Turut bersama dengan beliau bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang turut mengetuai pasukan khas berkenaan.

Kesemuanya beredar dalam keadaan tergesa-gesa tanpa memberikan sebarang komen.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Siasatan 1MDB bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes 1MDB.

Dalam perkembangan berasingan, wartawan turut menunggu di Menara Ilham, lokasi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) diberi taklimat oleh beberapa pegawai tertinggi dari pelbagai institusi dan organisasi.

CEP telah bermesyuarat sejak pukul 10.30 pagi tadi.

Bagaimanapun pertanyaan wartawan tidak diendahkan apabila individu yang didekati enggan memberikan komen mengenai mesyuarat tersebut.

1MDB, Gani Patail

Artikel Lain