suria

Tokoh pelbagai agensi anggotai pasukan khas siasat 1MDB

PETALING JAYA: Kerajaan menubuhkan pasukan khas yang dianggotai beberapa tokoh pelbagai latarbelakang bagi menyiasat secara terperinci kes berkaitan 1MDB.

Perkara itu diumumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Isni.

Pasukan khas itu diketuai bersama oleh Tan Sri Abdul Gani Patail iaitu bekas peguam negara; bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed ; Datuk Seri Mohd Shukri Abdull (ketua pesuruhjaya SPRM) dan Datuk Abdul Hamid Bador (bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman).

"Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju membentuk pasukan khas siasatan 1MDB bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes 1MDB, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB," kata kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu menyebut, pasukan khas ini bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset berpunca daripada salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang tersimpan atau dilaburkan di dalam atau luar negara.

"Pasukan khas ini juga bertanggungjawab mendapatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara berkaitan," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, selain wakil SPRM, polis, dan Jabatan Peguam Negara, ia turu dianggotai wakil Bank Negara Malaysia dan beberapa tokoh perundangan yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan.

1MDB, Gani Patail, Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Lain