suria

Ada individu, peniaga dipaksa bayar cukai 'lebih'

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan terdapatnya peniaga dan individu yang 'ditekan' dengan dipaksa membayar cukai yang lebih daripada sepatutnya ketika era pemerintahan sebelum ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya akan cuba mengganti semula wang yang dikutip secara haram itu, namun, memerlukan mereka yang teraniaya itu tampil memberikan maklumat.

“Kita ingin tahu siapa yang dipaksa ini. Berapa banyak mereka terpaksa bayar dan kita akan cuba ganti balik wang yang dikutip secara haram ini. Kita nak kena tahu daripada mereka sendiri apakah mereka sudah bayar cukai sepenuhnya.

"Mereka didekati internal revenue (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan dipaksa oleh internal revenue supaya bayar. Dan kalau tak bayar, mereka akan didera dengan di blacklist (senarai hitam), tak boleh keluar negara dan ada kala pasport ditarik balik atau raids (serbuan) diadakan, buku akaun dirampas dan mengganggu perniagaan,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata demikian dalam sesi penerangan kepada RTM dan Bernama di kediamannya di Seri Kembangan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menekan peniaga dan individu berkenaan walaupun mereka telah membayar cukai dan mempunyai dokumen yang menunjukkan bukti pembayaran.

"Ini adalah satu cara menggugut mereka supaya mereka tidak boleh derma kepada parti lawan umpamanya.

"Ini kita tahu walaupun tak diiktiraf dan diakui, ini memang berlaku dan ramai daripada peniaga dan orang yang berharta yang mungkin sokong parti lawan, semua mereka telah dilawati oleh LHDN supaya LHDN boleh tekan mereka khususnya kerana nak tahan mereka daripada membiayai parti lawan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata pihaknya juga tidak senang dengan polisi kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam institusi perbankan.

"Sekarang ini, untuk menghalang perbuatan money laundering (pengubahan wang haram), bank kononnya tidak boleh bagi pinjam lebih daripada RM50,000 dan ini menjejaskan kelarisan perniagaan...dan ini satu cara gangguan yang tidak menolong perniagaan.

“Kita tidak mahu bank mengenakan syarat ini walaupun syarat ini dikehendaki oleh kerajaan dahulu.

"Mereka (bank) sepatutnya menimbang setiap permohonan pinjaman berasaskan kepada kebolehlaksanaan projek,” kata beliau. - BERNAMA

LHDN. Tun M