suria

Sultan Selangor perkenan lantik Exco kerajaan negeri baharu esok

Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan surat cara perlantikan kepada Azmin pada Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Surat Cara Perlantikan Menteri Besar Selangor Dan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Taat Setia Anggota Dewan Di Raja Selangor di Balairung Seri Istana Alam Shah pada Jumaat lalu. - fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan untuk istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata senarai nama calon Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang layak untuk jawatan itu telah dipersembahkan kepada baginda oleh Mohamed Azmin hari ini.

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, senarai lengkap anggota Exco baharu itu akan diedarkan selepas istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan yang dijadual diadakan pada pukul 2 petang esok di Istana Alam Shah, Klang, dekat sini.

Beliau berkata sebelum memberi perkenan pelantikan tersebut, Sultan Sharafuddin telah meneliti dan membuat saringan terperinci terhadap senarai nama calon-calon Adun berkenaan.

Pakatan Harapan membentuk kerajaan negeri Selangor apabila mendapat majoriti dua pertiga dengan memenangi 51 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Rabu lepas. - BERNAMA

Exco Selangor, Mohamed Azmin Ali

Artikel Lain