suria

Ke arah kemajuan sistem pengangkutan Johor

JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia pastinya tidak sabar menantikan projek pengangkutan mega yang bakal mengubah sistem pengangkutan awam di Johor.

Antara mereka ialah juruteknik, R.Vickneswaran, 33, yang berulang alik ke Singapura menaiki bas setiap hari untuk bekerja.

"Biasanya saya merentasi Tambak Johor dengan bas kerana ia lebih murah, namun ia sentiasa sesak.

"Dengan adanya Rapid Transit System (RTS) kelak, kesesakan di Tambak Johor pastinya dapat dikurangkan dan ia bakal menjimatkan masa pengguna," ujarnya.

Ahli perniagaan, Zulhelmi Zakaria, 35, berkata, sistem Bus Rapid Transit (BRT) pula akan menjadikan Johor seperti bandar besar lain yang mempunyai sistem pengangkutan serupa.

"Kesesakan trafik di Johor semakin teruk tapi saya yakin kewujudan BRT akan membawa kejayaan.

"Rakyat di sini memerlukan sistem pengangkutan awam yang boleh diharapkan dan nampaknya kerajaan negeri menangani hal ini dengan cara yang positif," tambahnya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sistem pengangkutan awam baharu yang lebih baik diperlukan bagi mengangkat kedudukan Johor di mata dunia.

"Mempunyai sistem pengangkutan yang bagus pastinya berjalan seiring dengan pembangunan yang sedang rancak di Johor, khususnya dalam Iskandar Malaysia," katanya.

Antara projek yang dimaksudkan ialah Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura serta landasan eletrik berkembar Gemas - Johor Bahru dan Johor Bahru - RTS.

Tambahnya lagi, projek HSR yang bakal menghubungkan Bandar Malaysia di Kuala Lumpur ke Jurong Timur, Singapura pastinya menjadi satu nilai tambah yang hebat dalam jaringan pengangkutan.

"Johor akan mempunyai stesen HSR terbanyak, antaranya di Iskandar Puteri, Batu Pahat dan Muar," katanya.

HSR yang dianggarkan menelan belanja RM175 bilion dijangka memulakan operasi pada hujung 2026.

Menerusi sambungan landasan berkembar perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) Gemas - Johor Bahru milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula, ia akan bermula di Sungai Gemas, Negeri Sembilan, melalui 11 stesen di Johor.

Penumpang akan melalui Segamat, Genuang, Labis, Bekok, Paloh, Kluang, Mengkibol, Renggam, Layang-Layang, Kulai dan Kempas Baru sebelum berakhir di stesen Johor Baru Sentral.

"Kerajaan telah memperuntukkan RM10.45 bilion meliputi landasan sepanjang 197 kilometer (km) dari sini dan Gemas," ujarnya.

Mohamed Khaled turut menekankan hasrat  kerajaan untuk menjadikan aliran trafik di tambak dan Secondlink yang dilalui ribuan pengguna pada setiap hari berada dalam keadaan lancar.

Selain itu, objektif utama projek RTS Link pula bertujuan menyediakan sambungan antara Johor dan ke republik itu.

"RTS Link akan menjadi sesuatu yang hebat kerana ia mampu membawa kapasiti 10,000 penumpang pada setiap jam bersamaan 72,000 orang setiap hari.

RTS Link terbaharu antara Johor Bahru dan Singapura sepanjang 4.2 kilometer dijangka siap pada 2024.

Mohamed Khaled berkata, dana RM2.56 bilion untuk pembinaan BRT bakal membantu aliran trafik khususnya dalam kawasan Iskandar Malaysia.

BRT ialah sistem bas transit berkualiti tinggi yang menyediakan perkhidmatan lebih bermutu, selesa dan menjimatkan kos servis.

Tambahnya lagi, BRT yang dijangka siap pada 2021 akan menghubungkan sekurang-kurangnya 90 peratus Iskandar Malaysia merangkumi kawasan seluas 51 km.

"Sistem itu dijangka menjadi tulang belakang infrastruktur pengangkutan awam di Iskandar dalam dua dekad berikutnya.

"Penambahbaikan sambungan serta akses akan menarik lebih ramai pelawat, peniaga dan pelabur ke Johor," tambahnya lagi.


Johor, HSR, ETS

Artikel Sebelum

Artikel Lain