suria

PAS pertikai niat Tun M mahu ziarah pusara Nik Aziz

Nik Adli mengunci pintu ke pusara arwah bapanya.

KOTA BARU: PAS mempertikaikan niat Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menziarahi pusara Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi bertanya mengapa Dr Mahathir mahu menziarahi pusara Nik Abdul Aziz ketika bekas perdana menteri itu mengkritik Allahyarham semasa beliau masih hidup.

"Kami mahu bertanya mengapa dia mahu menziarahi Tok Guru sekarang selepas bertahun-tahun lamanya. Mahathir tidak pernah meminati atau jadi pengikut Tok Guru.

"Jika dia rasa bersalah, dia tidak patut menziarahi pusara tetapi perlu memohon maaf kepada ahli keluarganya yang masih hidup," kata Che Abdullah dalam satu sidang media di bangunan perhubungan PAS dekat sini, Isnin.

Anak lelaki ketiga Nik Abdul Aziz, Nik Adli, 51, tidak membenarkan orang luar menziarahi pusara arwah bapanya itu.

Nik Adli meminta pengurusan tanah perkuburan Islam Pulau Ketam supaya mengunci pintu ke pusara arwah bapanya dan sebuah lori tiga tan diletakkan di depan tanah perkuburan tersebut bagi menghalang sesiapa saja daripada memasuki kawasan berkenaan.

Dr Mahathir dijadualkan melawat pusara Nik Abdul Aziz ketika berkempen di Kelantan tetapi membatalkan lawatan itu pada saat akhir.

"Saya fikir tindakan Dr Mahathir tidak masuk akal dan dia tidak sepatutnya melakukan perkara itu hanya untuk kepentingan politik," kata Che Abdullah.

PAS, Nik Abdul Aziz, Tun M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain