suria

The Loaf: Najib Tempelak Tun M

TELUK INTAN: Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat empat pusingan-U dalam kenyataannya dan menyalahkan ekonomi negara apabila terpaksa menutup kedai roti miliknya.

Perdana Menteri berkata, perbuatan bekas pemimpin negara itu disifatkan melalut kerana menukar empat kali kenyataan berhubung penutupan The Loaf dalam masa dua minggu bagi menyalahkan kerajaan.

"(Dia) bukan nak dengar cakap orang dah, melalut cakapnya, hari ini cakap lain esok cakap lain macam kedai roti dalam dua minggu empat kali tukar (kenyataan), mula-mula kata kedai dia, lepas itu kata bukan kedai dia, lepas itu kata nak jual kedai dia, akhir kata baru mengaku kedai dia.

"Sebab apa dalam daftar syarikat dia ada 10 juta saham (dalam kedai roti) dan pegang 51 peratus ekuiti. Janganlah kita main politik yang begini, jangan kita tuduh orang tidak berasas, berdosa nanti. Tak apa, itu dia dengan Allah nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di sini yang mengandungi 957 unit kediaman di Batu 4, Jalan Changkat Jong di sini Rabu.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong yang juga anggota Parlimen Teluk Intan dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Abdul Mutalib Alias.

Walaupun Najib tidak menyebut nama pemimpin dimaksudkan, ia jelas merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir berikutan isu penutupan 12 cawangan kedai roti The Loaf di negara ini.

"Ada orang itu buka kedai roti, 12 tahun, 12 cawangan (dan) kata ekonomi negara ini tak baik diuruskan oleh kerajaan, (Tapi), kedai roti lain tidak tutup, kedai roti lain maju, kedai RotiBoy maju, kedai roti Gardenia maju, saya percaya yang jual mi rebus Mastan Ghani Teluk Intan, perniagaannya juga maju.

Kalau tutup kedai, orang tak pergi ke kedai, kerajaan pun dipersalahkan kah? Mungkin kedai itu tidak sesuai tempatnya, mungkin rotinya tidak sedap, mungkin kos terlalu tinggi ke? Mungkin ada sebab yang lain. Yang anehnya, ekonomi negara kita ini memang berkembang dengan begitu positif sekali," katanya.

Jelas beliau, kejayaan Malaysia memperoleh penilaian semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak tiga kali sepanjang tahun lepas daripada Bank Dunia mencerminkan ekonomi negara berada pada landasan baik dan semakin pesat. - BERNAMA

Tun M, The Loaf

Artikel Lain