suria

Rayuan keluarga Anwar ditolak

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebentar tadi menolak rayuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya yang mencabar keputusan Pengarah Penjara Sungai Buloh kerana tidak membenarkannya bersentuhan dengan ahli keluarga ketika melawatnya di penjara.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Ahmadi Asnawi sebulat suara menolak rayuan Anwar selepas mendapati permohonan itu tidak munasabah.

Korum yang turut dianggotai Datuk Ong Lam Kiat Vernon dan Datuk Suraya Othman menolak rayuan Anwar dan keluarga yang memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac tahun lepas.Bagaimanapun tiada kos diperintahkan.

Selain Anwar, 70, turut bertindak selaku pemohon ialah isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 65, dan empat anak perempuan mereka, Nurul Izzah, 37, Nurul Nuha, 34, Nurul Ilham, 30, dan Nurul Iman, 27.

Turut memfailkan permohonan itu ialah anak Nurul Izzah, Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir Iskandar dan Raja Ahmad Harith, masing-masing berumur sembilan dan tujuh tahun, serta anak Nurul Nuha iaitu Sulaimaan Mohamad Khairul dan Yahya, masing-masing berumur empat dan tiga tahun.

Mereka menamakan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri selaku responden.

Mereka memohon perintah bahawa keputusan pengarah Penjara Sungai Buloh bertarikh 14 Mac 2016 yang tidak membenarkan sentuhan fizikal antara Anwar dan kesemua ahli keluarga asalah tidak dibenarkan.

Mereka mendakwa semasa lawatan ke penjara yang dibenarkan setiap tiga minggu sekali, Anwar, mereka dipisahkan melalui dinding kaca dan percakapan hanya dibuat melalui telefon.

Anwar, melalui surat peguam caranya bertarikh 2 Mac 2017 telah memohon kepada ketiga-tiga responden supaya membenarkan sentuhan fizikal semasa lawatan keluarga ke penjara tetapi mendakwa pengarah Penjara Sungai Buloh menolak permohonan berkenaan melalui surat berkenaan.

Pada 3 November 2016, mahkamah memberi kebenaran kepada Anwar dan keluarganya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman selepas mendapati terdapat isu yang perlu dibicarakan.-SinarHarian




Anwar Ibrahim, Sungai Buloh

Artikel Lain