suria

Keluarga Prebet Adam mohon maaf kepada diraja Johor

Prebet Adam menyerah diri selepas kejadian amuk di Chow Kit pada tahun 1987. Foto: Staric. Tarikh 09.10.1987

PETALING JAYA: Keluarga Prebet Adam yang terlibat dalam insiden amuk di Chow Kit pada tahun 1987 tampil memohon maaf kepada keluarga Diraja Johor.

Adiknya, Hawa Jaafar,53, tampil menafikan bahawa Prebet Adam mengamuk dan melepas tembakan rambang kerana fitnah adiknya dibunuh Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail ketika dia menjadi kedi untuk Sultan Johor ketika itu.

Dia berkata, mereka sekeluarga terpaksa menahan malu dan marah selama 30 tahun kerana tidak dapat menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat dan pihak berkuasa.

"Adam mengamuk di Chow Kit kerana mengalami masalah di tempat kerja dan bukan fitnah adik kami dibunuh oleh Sultan.

"Saya minta maaf kepada keluarga Diraja Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana terpalit dengan fitnah yang membabitkan abang saya, Prebet Adam.”

"Semua adik beradik kami masih hidup, hanya seorang saja yang sudah meninggal dunia pada 1975 kerana kejadian kebakaran di rumah.

"Dengan nama Allah tidak ada pembunuhan sebenarnya,” katanya pada sidang media di Georgetown pada Khamis. Turut hadir, dua lagi adik Adam iaitu Arina Jaafar dan Arman Jaafar.

Adam adalah anak sulung daripada sembilan beradik.

Mengulas lanjut, Hawa yang juga anak kedua berkata, mereka sekeluarga tidak pernah mengenali seorang pun keluarga kerabat Diraja Johor.

Malah katanya, mereka sekeluarga turut difitnah menerima wang sogokan sebanyak RM10,000 sebulan bagi menafikan perkara terbabit.

“Lihatlah kediaman saya, kami cuma orang biasa. Kami tidak pernah terima sesen pun duit daripada mana-mana pihak untuk nafikan hal ini,” katanya yang tinggal di Georgetown.

Kejadian amuk Prebet Adam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pernah menggemparkan negara pada 1987 dan mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

Kontroversi Prebet Adam muncul semula selepas Tunku Ismail berkongsi pandangannya mengenai keadaan politik negara Facebook Johor Southern Tigers Ahad lalu (8 April).

Beliau menyentuh kisah Prebet Adam, mengatakan bahawa datuknya Almarhum Sultan Iskandar tidak diberi peluang untuk mempertahankan dirinya sebagai tidak memiliki kelebihan internet ketika itu dan media arus perdana dikawal oleh pemerintah pada hari itu.

Tunku Ismail, Prebet Adam

Artikel Lain