suria

Arwind dedah pernah ditendang, diludah, tapi tak dibantu rakan

PETALING JAYA: Lagak selebriti media sosial, Arwind Kumar yang popular dengan watak 'MakCik' mungkin digilai sejumlah 315,000 pengikut Facebooknya, namun disebabkan itu juga dia menjadi mangsa buli di sekolah.

"Saya sering diejek sebagai lelaki lembut atau pondan", dedah Arwind menerusi temubual bersama R.AGE (fb.com/thestarRAGE).

"Pada suatu hari, pembuli-pembuli itu panggil saya keluar dari kelas, bawa saya ke padang sebelum mereka menyepak dan meludah saya.

"Saya rasa keseorangan, tiada seorang pun yang membantu," imbas Arwind mengenai detik hitam itu.

Kini, Arwind menggunakan pengaruh media sosialnya untuk menyokong kempen #StandTogether yang diperkenalkan oleh R.AGE dalam usaha membasmi gejala buli di sekolah melalui Minggu Kebaikan Nasional, minggu pertama setiap bulan.

Kempen berkenaan yang diperkenalkan oleh Kumpulan Media Star dan pemaju hartanah, SP Setia menerima sokongan daripada personaliti popular seperti Lisa Surihani, JinnyBoy, Dayang Nurfaizah, Jenn Chia, Paperplane Pursuit dan puteri Sultan Selangor Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan dan Datuk Chong Sin Woon turut menzahirkan sokongan bagi menjadikan minggu kebaikan #StandTogether sebagai acara tahunan di semua sekolah di negara ini.

"Kami menggelarnya #StandTogether kerana mahu semua komuniti berhimpun bersama di sekolah mereka," ujar Produser dan Timbalan Editor Eksekutif R.AGE, Ian Yee.

"Gejala buli ini bukanlah isu yang perlu diselesaikan oleh Kementerian Pendidikan sahaja, malah ia memerlukan penglibatan pelajar, guru dan seluruh anggota masyarakat untuk sama-sama menanganinya," ujar Ian lagi.

Dalam pada itu, Arwind mengakui pernah berfikir untuk membunuh diri suatu ketika dahulu.

"Apa yang lebih teruk ialah, kawan saya pun tak buat apa-apa sewaktu saya dibuli. Mereka pun takut macam saya," katanya.

Pasukan R.AGE juga kini sedang membangunkan pusat sumber dalam talian bagi membolehkan sukarelawan memuat turun program #StandTogether, membolehkan mereka menganjurkannya di sekolah masing-masing.

Untuk maklumat lanjut mengenai #StandTogether atau bagi mereka yang mahu menonton video Arwind mengenai kisah bulinya, layari fb.com/StandTogetherMY./p>

Artikel Lain