suria

Lima negeri bubar DUN pada Sabtu


KUALA LUMPUR: Lima negeri mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing berkuat kuasa Sabtu menyusuli pembubaran Parlimen ke-13, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat.

Setakat pukul 6 petang ini, Sabah menjadi negeri pertama yang mengumumkan pembubaran itu diikuti Perlis, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kawasan DUN negeri-negeri berkenaan diadakan serentak dengan peringkat Parlimen.

Perdana menteri hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa esok bagi  memberi laluan kepada PRU14, berbeza dengan kelaziman pengumuman dan pembubaran dibuat pada hari yang sama.

Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dalam sidang akhbar di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, berkata beliau telah mendapatkan persetujuan daripada Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin kira-kira 2.30 petang di Istana Negeri bagi pembubaran DUN Sabah berkuat kuasa esok.

Di KANGAR, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man mengumumkan pembubaran DUN itu selepas mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Di JOHOR BHARU , Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar memperkenan agar DUN Johor dibubarkan esok.

Berdasarkan kenyataan yang dimuat naik melalui laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, baginda berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum PRU14.

Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan pembubaran DUN berkuat kuasa setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Di MELAKA, DUN dibubarkan esok setelah Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob hari bagi membolehkan pembubarannya.Sementara itu, bagi negeri KEDAH, PERAK dan TERENGGANU, Menteri Besar berkenaan akan menghadap Sultan negeri masing-masing esok bagi mendapat perkenan pembubaran DUN.-Bernama

Bubar DUN

Artikel Lain