suria

Malaysia peroleh pelbagai manfaat jika sertai EPS

PETALING JAYA: Insiden malang yang menimpa rakyat negara ini yang sanggup mengambil risiko untuk bekerja sebagai buruh haram di Korea Selatan boleh dielakkan sekiranya Malaysia tersenarai dalam Sistem Permit Pekerjaan (EPS) negara berkenaan.

Penganalisis Politik Antarabangsa, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, terdapat pelbagai manfaat yang bakal diperolehi negara ini apabila mampu membekalkan tenaga kerja ke Korea Selatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerana Winter Sonata, Rakyat Malaysia Bergelar Buruh Haram, Gelandangan

"Rakyat kita tidak lagi terkongkong dengan peluang pekerjaan yang terdapat dalam negara.

"Ia juga dapat memberikan faedah ekonomi daripada sudut pulangan matawang Korea ke negara kita kerana secara tidak langsung ia dapat merancakkan ekonomi domestik," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Ahmad Martadha.

Tambah pensyarah yang berpengalaman selama 25 tahun dalam politik antarabangsa itu, kuasa membeli oleh rakyat negara ini juga akan meningkat, selain turut membantu sektor ekonomi di Korea Selatan.

Namun, memandangkan Malaysia dan Korea Selatan mempunyai hubungan diplomatik yang baik, perlu ada perbincangan tentang sektor-sektor pekerjaan yang boleh menggunakan khidmat rakyat Malaysia, tetapi pada masa sama tidak mengancam peluang pekerjaan penduduk tempatan.

"Kita bercakap tentang menyediakan buruh berkemahiran untuk sektor yang diperlukan di negara itu.

"Ini adalah satu perkara baik (menyertai EPS)... yang buruk bila kita hantar pekerja tidak mahir seperti yang berlaku sekarang," jelas pensyarah lulusan doktor falsafah Pentadbiran Awam dan Undang-undang, dari Universiti Illinois, Amerika Syarikat itu.

Jelas Ahmad Martadha, tenaga kerja yang tidak berkemahiran akan mudah dimanipulasi oleh majikan atau ejen tidak berdaftar disebabkan mereka tiada kesedaran tentang hak yang boleh dituntut apabila berlaku kecelakaan.

Tegas beliau, kerajaan juga harus menggubal undang-undang yang jelas bagi menangani kegiatan ejen pekerjaan tidak berdaftar yang gemar mengambil kesempatan ke atas mangsa.

Jelasnya, sukar untuk menghukum ejen-ejen tersebut sekiranya tiada undang-undang yang khusus untuk melindungi rakyat Malaysia yang terpedaya dengan janji palsu mereka.

Artikel Lain