suria

Mangsa Pokok Tumbang Bukan Suami Isteri - Bapa

PETALING JAYA: Bapa kepada salah seorang mangsa kejadian pokok tumbang, Abdul Rashid Hussin menjelaskan anak perempuannya masih bujang, bukan berstatus isteri orang seperti dilaporkan sebelum ini.

Abdul Rashid mengesahkan anaknya, Mira Ezva, 25, dan seorang lagi mangsa dalam kejadian sama, Norazrul Ahmad, 37 bukan pasangan suami isteri.

Sehubungan itu, beliau berharap kesilapan maklumat berhubung status anaknya yang tersebar dapat diperbetulkan.

"Anak saya dan lelaki itu belum bernikah, mereka cuma kawan.

"Saya hanya mengetahui dakwaan anak sudah bernikah selepas ramai kenalan menelefon dan bertanya mengenai perkahwinan itu seperti yang dilaporkan media.

"Mungkin anak saya terlalu terkejut dan trauma dengan kemalangan yang berlaku, maka dia mengeluarkan kenyataan dalam keadaan keliru," katanya seperti dilaporkan Berita Harian selepas menemani anaknya membuat laporan di Balai Polis Trafik Tun HS Lee di sini, Khamis.

Sementara itu, Abdul Rashid,54, memberitahu kepada media bahawa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah bersetuju untuk menanggung segala kos kerosakan motosikal serta kos rawatan hospital.

Mira Ezva telah dibenarkan keluar hospital, namun masih dalam keadaan trauma, selain mengalami pendarahan di kepala serta bahagian muka.

Manakala kawan lelaki anaknya, masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam kejadian pagi Selasa lalu, pokok gergasi berusia 130 tahun tumbang di Jalan Ampang berdekatan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menyebabkan dua penunggang dan pembonceng motosikal cedera.

Artikel Lain