suria

Sultan Johor Dukacita Berita Palsu

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

JOHOR BAHRU: Sultan Johor menzahirkan rasa dukacita apabila Istana Johor dikaitkan dengan isu politik menjelang pilihan raya umum.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah baginda "sangat murka" di atas penyiaran posting di media sosial yang telah tular.

Titah baginda, posting di Facebook oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah diputarbelitkan dan kini tular di media sosial.

Sultan Ibrahim bertitah, Tunku Mahkota telah membuat komen mengenai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tetapi penyebaran yang tular itu kini memberi gambaran bahawa Tunku Mahkota seolah-olah mengkritik Nazri mengenai isu Tan Sri Robert Kuok.

"Ia adalah berita palsu. Ia adalah rekaan semata-mata dan beta sangat dukacita dengan berita palsu ini. Kita mahu polis mengesan pelaku di sebalik perkara ini kerana kita sangat serius mengenainya.

"Ia adalah satu kesalahan yang serius menggunakan nama Istana Johor untuk mereka-reka berita palsu," titah baginda, sambil menambah bahawa tiada siapa yang sepatutnya terselamat daripada membuat berita palsu.

Baginda menitahkan rakyat supaya lebih berhati-hati mengenai berita palsu kerana ia mungkin lebih kerap berlaku ketika ini kerana pilihan raya.

Sultan Johor turut menzahirkan dukacita apabila media sosial disalahgunakan oleh segelintir orang untuk menghantar berita palsu bagi memupuk kesangsian dan kebencian.

Baginda juga menasihatkan media dan orang ramai supaya menyemak dan mendapatkan kesahihan sumber berita dan bukannya terus menyampaikannya kepada orang lain.

Dalam pada itu, Majlis Jumaah Diraja Johor mengutuk sekeras-kerasnya laman portal berita Singapura, The Independent yang didakwa memutarbelitkan kenyataan Tunku Mahkota Johor.

Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, portal berkenaan menggunakan dan memutar belit kenyataan Tunku Ismail berkenaan isu politik antara Mohamed Nazri dan hartawan, Robert Kuok.

Abdul Rahim juga menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan kenyataan rasmi dua pemimpin tertinggi Johor berkenaan menerusi sumber yang sahih dan diperakui sahaja.

“Saya ingin menegaskan kepada anda semua bahawa segala kenyataan yang dibuat daripada Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail hanya akan dikeluarkan oleh laman rasmi The Royal Johor (Royal Press Office), laman rasmi Johor Southern Tigers dan akhbar The Star.

“Jikalau ada kenyataan daripada sumber luar selain daripada yang saya nyatakan di atas, ia adalah tidak benar sama sekali,” katanya menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers.

“TMJ tidak pernah langsung memberikan kenyataan mengenai isu tersebut.

“Saya meminta pihak luar berhenti daripada mengaitkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Ismail dengan isu-isu politik," tambah Abdul Rahim.

Artikel Lain