suria

Jamal Beri Lesen Motosikal Percuma

Jamal Md Yunos.

SABAK BERNAM: Umno Bahagian Sungai Besar mengumumkan berita gembira apabila memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi pemberian lesen motosikal percuma kepada ahli parti itu yang berusia 21 tahun ke atas.

Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, dana yang terkumpul itu adalah daripada sumbangan daripada rakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan korporat.

“Setiap seorang kita peruntukan antara RM600 hingga RM700 dan pendaftarannya telah dibuka sejak seminggu lalu,” katanya ketika ditemui selepas lawatannya ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpang Lima.

Jamal berkata, sebanyak 15 hingga 20 pemohon kumpulan pertama yang layak telah didaftarkan di sekolah memandu terpilih.

“Selepas ini, sekolah memandu akan berurusan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk perlaksanaan program ini,” katanya.

Selain menawarkan pemberian lesen percuma, Jamal turut menawarkan sebuah rumah kepada golongan belia kurang berkemampuan yang baharu berkahwin di Parlimen Sungai Besar, sekiranya BN berjaya merampas Selangor.

Katanya, Umno bahagian itu memiliki lapan hektar tanah iaitu empat hektar di Dun Sungai Panjang manakala empat hektar lagi di Dun Sekinchan.

“Sebenarnya rancangan ini telah lama dirancang cuma kami baru maklumkan sahaja,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 200 unit rumah dirancang dibangunkan iaitu masing-masing 100 unit di Dun Sungai Panjang dan Dun Sekinchan.

“Cadangannya untuk mendirikan rumah teres sebaris dengan dilengkapi tiga bilik tidur, tandas dan ruang dapur serta ruang tamu yang agak selesa berbanding rumah bantuan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya bantuan permulaan seperti itu, golongan muda dapat melihat sendiri bagaimana Umno berjuang demi rakyat pada masa depan.

“Kita bukannya mengharapkan sokongan semata-mata daripada mereka (golongan muda), tetapi kita nak menghargai penyokong-penyokong Umno bahagian ini,” katanya.

Beliau berkata, pemberian rumah percuma tidak mustahil dapat diperluaskan di seluruh negeri ini sekiranya BN kembali berkuasa.

“Saya yakin dan percaya langkah yang diambil di Sungai Besar ini dapat dilaksanakan di seluruh negeri Selangor sekiranya BN menang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, usaha itu sukar dilaksanakan jika Pakatan Harapan terus menguasai negeri ini.

“Kebenaran merancang ini terletak di bawah kerajaan negeri dan kalau rakyat Selangor memilih BN, ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita laksanakan,” katanya. - Sinar Online

lesen motosikal, Jamal Md Yunos

Artikel Berikut

Artikel Lain