suria

Penculik, Lanun Disyaki Terlibat Kejadian Tembak Nelayan

Kesan tembakan yang terkena bot nelayan dalam kejadian di Kuala Segama, Jumaat.

KOTA KINABALU: Polis Sabah masih menyiasat bagi memastikan pembabitan kumpulan culik untuk mendapatkan pampasan atau lanun terlibat dalam kejadian tembakan di perairan Segama dekat sini, Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Sabah, Komisioner Datuk Razarudin Husain berkata, bagaimanapun, pihaknya percaya kumpulan yang terlibat dalam insiden itu tiada kaitan dengan kegiatan militan.

"Kami mengesyaki kumpulan itu adalah perompak di laut atau penculik untuk pampasan dari pulau berdekatan. Kami masih menyiasat," katanya kepada media di ibu pejabat polis Kepayan, Sabtu.

Kejadian itu berlaku kira-kira 11 batu nautikal dari Kuala Segama di timur Sabah, berhampiran kepulauan Taganak, selatan Filipina.

Insiden itu menyebabkan lima nelayan nyaris maut selepas bot mereka ditembak sekumpulan lima lelaki pada Jumaat petang.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superitendan A. Sahak Rahmat berkata, berdasarkan laporan yang diterima polis, kejadian  berlaku semasa bot yang dinaiki juragan dan empat kru itu sedang menunda pukat.

Mereka mendakwa bot mereka didekati oleh sebuah bot yang dinaiki lima lelaki berpakaian hitam yang muncul tiba-tiba sebelum mengarahkan bot nelayan terbabit berhenti, katanya.

Menurutnya bagaimanapun juragan bot yang bimbang akan keselamatan mereka tidak mematuhi arahan tersebut menyebabkan seorang daripada lelaki berpakaian hitam berkenaan mengangkat selaras senjata berat yang tidak dipastikan jenisnya lalu melepaskan satu das tembakan yang mengenai dinding kiri bot nelayan terbabit.

Tembakan itu menyebabkan kelima-lima nelayan berusia 19 hingga 48 tahun berkenaan lari bersembunyi di bahagian enjin bot.

Katanya bot dinaiki lima lelaki itu dipercayai bergerak ke bahagian depan bot nelayan berkenaan sebelum melepaskan dua das tembakan yang mengenai bumbung tempat jurumudi.

Mereka kemudian bergerak ke arah belakang bot nelayan itu serta melepaskan beberapa das tembakan lagi ke arah bot tunda  berkenaan sebelum beredar meninggalkan kawasan tersebut, katanya.

Beliau berkata nelayan terbabit yang tidak mengalami sebarang kecederaan membuat laporan polis di Balai Polis Sandakan pada 12.43 tengah malam. 

"Pemeriksaan pada bot nelayan berkenaan menemukan beberapa kesan tembakan di dalam ruang kemudi bot," katanya.


Segama, Razarudin

Artikel Sebelum

Elaun SL1M Kini RM2,000 Sebulan

Artikel Lain