suria

Cuti Luar Negara Bukit Aman Dibeku

PETALING JAYA: Perjalanan ke luar negara untuk semua anggota PDRM telah dibekukan sebagai persediaan bagi pilihan raya umum akan datang, kata Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab berkata, pembekuan yang berkuat kuasa pada Rabu, terpakai pada Mac, April dan Mei.

"Arahan ini adalah untuk semua anggota PDRM, termasuk kepimpinan tertinggi Bukit Aman.

"Ia adalah sebahagian daripada persiapan kita untuk pilihan raya akan datang," katanya kepada The Star pada Khamis.

"Pembekuan semua cuti, termasuk untuk perjalanan domestik, akan dikenakan sebaik sahaja tarikh pilihan raya diumumkan," tambah Abdul Ghafar.

"Sebaik sahaja (tarikh) diumumkan, kita akan melakukan yang diperlukan."

Bagaimanapun, bagi perjalanan kerja di luar negara, terutama untuk pengarah-pengarah Bukit Aman, masih dibenarkan.

"Perjalanan seperti itu, termasuk komitmen para pengarah untuk menghadiri persidangan dan acara penting lain masih dibenarkan.

"Ia adalah perjalanan kerja," katanya sambil menambah hanya cuti percutian di luar negara telah dibekukan.

Abdul Ghafar juga berkata, jabatan itu telah membuat semua persiapan yang diperlukan untuk memberi sokongan tenaga kerja pada pilihan raya.

"Kita bersedia memberikan bantuan yang diperlukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja diperlukan," katanya.

Dari segi persediaan operasi untuk pilihan raya, Abdul Ghafar berkata, ia di bawah bidang kuasa Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Azizan Abu Bakar berkata, PDRM mempunyai kira-kira 130,000 kakitangan yang bersedia untuk dihantar semasa pilihan raya.

Menurut Azizan, PDRM telah menjalankan pelbagai latihan sebagai persiapan untuk pilihan raya.

"Kita mengadakan beberapa latihan untuk memastikan semua anggota bersedia untuk sebarang kemungkinan. Kumpulan latihan terakhir akan dijalankan awal bulan depan," katanya.

Senario latihan adalah berdasarkan empat keadaan sepanjang pilihan raya umum iaitu selepas Parlimen dibubarkan, hari penamaan, hari pengundian dan pengumuman keputusan.

Bukit Aman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain