suria

DBKL Audit Semula Laluan Basikal

Laluan basikal di ibu negara. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengaudit semula laluan basikal sepanjang 11 kilometer (km) di sekitar ibu kota dalam tempoh dua bulan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya untuk jangka masa panjang.  

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, antara perkara yang perlu diselaras semula adalah laluan bas, pejalan kaki dan basikal yang dikatakan bertindih di kawasan-kawasan tertentu.  

“Contohnya di Jalan Raja Laut, laluan bas turut digunakan sebagai laluan pejalan kaki dan basikal... ia dilihat bertindih dan sebenarnya berbahaya jika laluan itu digunakan secara serentak. 

“Kami sebenarnya mempunyai pelan induk untuk menambah baik laluan basikal sepanjang 11km itu, namun, kami perlu mendapatkan maklum balas daripada orang awam dahulu untuk pengauditan semula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘World Urban Village' sempena World Urban Forum 9 (WUF9) di sini, Rabu.

Mhd Amin Nordin berkata, sempena dengan persidangan WUF9, beliau turut akan mengambil pandangan daripada datuk bandar serta duta-duta dari negara Eropah untuk penambahbaikan laluan basikal.  

“Di negara-negara Eropah misalnya, mereka sudah lama melaksanakan laluan basikal dan ia dilihat sangat sistematik. Malaysia baru sahaja melaksanakannya, jadi banyak perkara yang perlu dipelajari daripada mereka,” katanya.  

Katanya, kos penambahbaikan laluan basikal sepanjang 11km di ibu kota berjumlah RM4 juta. 

“Laluan basikal yang ada pada masa sekarang masih lagi dalam tempoh percubaan. Sekiranya mendapat sambutan positif, kami akan memanjangkan laluan basikal ke kawasan-kawasan lain,” katanya.  

Bersempena WUF9, DBKL dan Think City pada Rabu melancarkan Urban Village yang terletak di Medan Pasar bagi menonjolkan usaha pertumbuhan semula di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur yang bersejarah.

Mhd Amin Nordin berkata, idea itu adalah bagi menonjolkan kemungkinan seseorang individu untuk hidup, berkongsi sumber, minat dan cita-cita dengan orang lain, sementara pada masa yang sama masih mempunyai ruang peribadi yang mencukupi.

“Apa yang memisahkan keadaan ini daripada pengalaman seseorang yang berkongsi kehidupan adalah keinginan  untuk menghidupkan semula semangat kampung di bandar.

"Dua prototaip satu unit telah didirikan di Medan Pasar untuk orang ramai merasai pengalaman dengan konsepnya dibangunkan melalui pembentangan cadangan reka bentuknya,” katanya.  - Bernama

laluan basikal, DBKL

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain