suria

Marah Belum Reda, FB Palsu Dibuka Serang 'Kakak Teh Ais'

TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak tular, buruk padahnya!

Itulah yang dapat digambarkan mengenai nasib seorang peniaga yang memuat naik posting di Facebook mengenai seorang pelanggannya yang tidak membayar sebungkus teh ais yang dibeli dari kedainya.

Walaupun kes tersebut dianggap selesai apabila minuman itu sudah dibayar oleh si pembelinya, muncul sebuah akaun Facebook, dipercayai palsu menggunakan nama dan gambar peniaga berkenaan.

Akaun FB, dipercayai palsu yang dibuka untuk menghentam peniaga teh ais.

Sama ada disedari netizen atau tidak, akaun tersebut terus diserang netizen yang masih tidak puas hati dan meluahkan rasa marah terhadap sikap tidak sabar wanita tersebut.

Berdasarkan pemeriksaan, akaun palsu itu yang mula aktif sejak 4 Februari lalu turut memuat naik status bersifat provokatif, kononnya dibuat oleh peniaga yang sama, menyebabkan individu berkenaan menerima kecaman tidak henti-henti.

Antara posting berunsur provokatif yang dimuat naik di akaun Facebook palsu peniaga berkenaan.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pengguna Facebook sedar bahawa akaun berkenaan hanyalah akaun palsu, bukan dikendalikan oleh peniaga berkenaan.

"Astagfirullahhalazim, Nauzubillahhi Min Zalik. Semoga siapa yang membuat akaun palsu ini selamat dari balasan Allah," tulis Sitiz Mdsaad.

Seorang lagi pengguna Facebook turut meluahkan rasa kesal dengan kewujudan akaun berkenaan.

"Saya sendiri tidak suka tindakannya menularkan kes teh ais itu. Tapi tak perlulah buat satu akaun palsu untuk kecam dia.

"Buat akaun palsu lepas tu buat status kononnya tuan punya gambar sengaja nak panaskan keadaan. Ini satu fitnah besar," tulis Pak Andak.

Sementara itu peniaga berkenaan dipercayai sudah memadam akaun Facebooknya yang digunakan untuk memuat naik posting tular berkenaan.

Posting asal yang dimuat naik peniaga berkenaan mengenai kegagalan pelanggannya membayar sebungkus teh ais.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada awal Februari, peniaga yang menggunakan nama Facebook Hidayu Azayu memuat naik sekeping gambar berserta kapsyen mengenai pelanggannya yang gagal membayar teh ais yang dibeli di kedainya.

Menurut peniaga itu, pelanggannya memberi alasan untuk pergi mengisi minyak motosikal terlebih dahulu kerana tiada baki wang kecil untuk membayar teh ais dibelinya.

Namun, pelanggan berkenaan dikatakan gagal muncul sehingga dia bertindak memuat naik status dan gambar anaknya sedang memegang sebungkus teh ais di Facebook.

Disebabkan itu, dia menerima kecaman netizen yang rata-rata menganggap tindakannya itu sesuatu yang tidak wajar dan berniat memalukan pelanggan.

Kawan kepada pelanggan yang ditularkan memberi penjelasan di akaun FB miliknya.

Malah, kawan kepada pelanggan yang ditularkan itu turut memberi penjelasan bahawa individu itu lewat membuat bayaran selama setengah jam sahaja dan bukannya langsung tidak membayar seperti apa yang ditulis oleh peniaga berkenaan.

Sehingga kini, tidak dapat dipastikan siapa individu di sebalik akaun palsu berkenaan.

Malah, ia masih aktif dan status terkahir yang dimuat naik adalah pada semalam (Isnin).

teh ais, wang kecil

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain