Polis Cari Wanita 40an Edar Kopi Percuma - Semasa | mStar

Polis Cari Wanita 40an Edar Kopi Percuma

GEORGE TOWN: Polis sedang mengesan seorang wanita yang dipercayai mengedar kopi pracampuran disyaki bercampur dadah sehingga menyebabkan tujuh individu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami gejala letih dan lemah yang teruk.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, wanita berumur 40-an yang tidak dikenal pasti identitinya itu diminta tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

"Berdasarkan siasatan awal polis, wanita itu mengedarkan kopi pracampuran perisa durian dan kopi putih yang diminum tujuh mangsa itu di kawasan pasar dan beberapa restoran di Jelutong.

Dia memberikan dua kopi berlainan perisa daripada syarikat yang sama itu secara percuma kepada orang ramai untuk dicuba sejak dua minggu lepas dan polis percaya keterangan daripada wanita berkenaan dapat merungkai serta memberi petunjuk untuk kami menjalankan siasatan lebih lanjut ," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Beliau berkata polis turut merampas sejumlah peket dua jenis kopi itu yang dibuang di kawasan kaki bukit di Bukit Bendera, di sini pada Sabtu.

Anuar berkata polis turut meminta seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang juga mangsa kopi  itu tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Lelaki itu telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 27 Jan lepas kerana mengalami gejala letih dan lemah yang teruk selepas minum kopi perisa durian namun dia melarikan diri ketika menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata setakat ini polis telah merekodkan keterangan tujuh individu termasuk seorang wanita yang memberi kopi berkenaan kepada dua lelaki Nepal yang bekerja sebagai pegawal keselamatan di sebuah bangunan di Pulau Tikus di sini.

Wanita berkenaan dikatakan mendapat kopi itu dari pasar yang diberi secara percuma dan polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu mempunyai unsur sabotaj kerana syarikat yang mengeluarkan kopi berkenaan telah menghasilkan pelbagai jenis kopi pracampuran sejak beberapa tahun lepas dan turut dieksport ke negara luar.

Sementara itu, Anuar berkata keputusan ujian darah dan air kencing dua lelaki Nepal yang menjadi mangsa selepas minum kopi berperisa durian pada 31 Januari lepas dijangka diperoleh selewatnya, Selasa.

kopi putih , Anuar Omar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Sufi selamat bergelar suami Nurulain

Timbalan menteri di JPM meninggal dunia