suria

Wanita Warga Amerika Guna Semburan Lada Serang Polis, Bomba

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita menggunakan semburan lada jenama 'bear' terhadap pasukan polis dan anggota bomba apabila mereka cuba membuka pintu kediamannya di Dutamas di sini.

Ketua Polis Sentul Asisten Komisioner, R. Munusamy berkata, pihaknya menerima panggilan pada Jumaat daripada seorang pemilik rumah memberitahu bahawa suaminya diserang menggunakan semburan lada oleh penyewa mereka yang merupakan seorang wanita warga Amerika Syarikat berusia 42 tahun.

"Apabila polis datang mengetuk pintu, mereka disembur oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebanyak lapan anggota polis dan lima anggota bomba terkena semburan lada yang biasanya digunakan untuk menghalau beruang ganas.

Pasukan bomba dipanggil untuk membantu pihak polis untuk memecahkan pintu rumah itu.

Kesemua 13 kakitangan dihantar ke hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

"Suspek akhirnya dipaksa menyerah diri dan dia mengaku menggunakan semburan itu," kata Munusamy.

semburan lada

Artikel Berikut

Artikel Lain