suria

Mahdzir Nafi Beri Amaran Berhenti Kerja Jika Guru Sokong Pembangkang

PETALING JAYA: Datuk Seri Mahdzir Khalid menyangka laporan berita mengenai tindakannya memberi amaran supaya golongan guru yang menyokong pembangkang pada pilihan raya umum meninggalkan profesion itu.

Menteri Pendidikan itu berkata, laporan berita itu tidak lojik dan ia mungkin telah disalahertikan wartawan terlibat.

"Undi adalah rahsia, bagaimana boleh saya memberi amaran kepada mereka yang mengundi pembangkang?" katanya.

Beliau diminta menjelaskan mengenai laporan yang disiarkan portal berita mengenai dakwaannya meminta guru dan pegawai kementeriannya yang menyokong pembangkang supaya berhenti kerja.

Mahdzir bagaimanapun menjelaskan, dia telah memaklumkan golongan pendidik pada perhimpunan golongan itu di Putrajaya minggu lalu bahawa penjawat awam terutama guru besar sepatutnya faham tugas dan tanggjawab mereka.

"Saya hanya mengingatkan mengenai kedudukan merena dan bagaimana mereka perlu melaksanakan tanggungjawab tanpa memberi kesan antara kerjaya dan ideologi politik.

"Mereka tidak boleh berada di pentas sama dengan pemimpin pembangkang kerana tugas sebagai penjawat awam yang melaksanakan dasar kerajaan.

"Saya tidak pernah mengugut atau meminta mereka meninggalkan kerjaya perguruan jika menyokong pembangkang," katanya.

Malahan, beliau sedia maklum bahawa ada dalam kalangan guru termasuk guru besar dan pengetua yang mempunyai jawatan dalam parti pembangkang termasuk PKR dan PAS.

"Saya percaya ibu bapa mahu golongan guru ini memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran kepada anak-anak mereka.

"Mereka tidak seharusnya menukar kelas, perhimpuann sekolah atau bilik guru kepada sesi ceramah," katanya.

Mahdzir berkata, perkara sama telah dimaklumkan kepada guru yang menyokong Barisan Nasional.

Mahdzir, PKR, PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain