suria

Guna Lidah Bersosial, Bantu Keluarga

Nursamawati Mahmud,33, menggunakan lidahnya untuk bersosial dan berkomunikasi di laman sesawang di rumahnya di Kampung Gelong Gajah. -fotoBERNAMA

PENDANG: Nursamawati Mahmud tidaklah sempurna seperti wanita lain lantaran kecacatan fizikal dialaminya sejak berusia setahun.

Namun, siapa sangka wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 33 tahun itu yang banyak menghabiskan masa di rumahnya di Kampung Gelong Gajah di sini, mampu menggunakan telefon pintarnya secara baik dengan hanya menggunakan lidah untuk bersosial dan berkomunikasi.

"Saya bukan sahaja melayari laman sosial Facebook, Instagram dan WeChat untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan, namun kelebihan dimiliki saya gunakan  untuk memperkenalkan produk sos dan kicap jenama Mahmudah keluaran keluarga kami bagi menambah pendapatan keluarga," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Nursamawati yang berasal dari Kampung Gelong Gajah, berkata usahanya itu akhirnya berjaya meningkatkan jualan produk ibunya kepada 4,000 botol sebulan sejak 2015, apabila mendapat permintaan yang menggalakkan.

Nursamawati, anak sulung  daripada lima beradik disahkan mengalami kecacatan fizikal sejak berusia setahun sehingga menyebabkan tangan dan kakinya mengerekot dan tidak mampu bergerak.

Keadaan itu menyebabkan beliau sentiasa bergantung kepada ibunya, Saudah Shaari, 55, dan bapanya, Mahmud Hussin, 60 untuk menguruskan dirinya seharian.

"Saya wujudkan akaun saya dengan nama Kak Long Nursamawati untuk mengakses laman sosial. Pada mulanya rasa sakit lidah tapi lama kelamaan dah biasa dan semakin cepat saya menaip di papan kekunci dan memuat naik gambar sos dan kicap serta menerima tempahan," katanya yang kini memiliki lebih 1,000 kenalan di laman Facebooknya.

Nursamawati bermesra dengan ibunya, Saudah Shaari, 55. -fotoBERNAMA

Semangat yang ada pada Nursamawati turut dipuji kenalan OKU yang lain dan sering memberi dorongan di atas usahanya itu.

Sementara itu, Saudah berkata Nursamawati yang dikenali dengan Kak Long adalah seorang yang sangat cekal dan tabah walaupun menyedari dirinya serba kekurangan.

"Kak Long sentiasa mahu melihat perniagaan saya berjaya. Walaupun  jualan kami sedikit terjejas tahun ini akibat persaingan, dia tidak berputus asa dan sentiasa dengan telefon pintar untuk mempromosikannya," kata beliau.

Kak Long juga sentiasa menjadi rujukan adik-adiknya dalam pelajaran walaupun tidak pernah bersekolah sejak kecil, kata Saudah.

"Kak Long seorang yang rajin membaca buku adik-adiknya sehingga dia pandai. Itu kelebihan dia yang orang lain tak ada. Kami bersyukur  dikurniakan anak seperti Kak Long yang sentiasa menunjukkan sikap bertanggungjawab kepada keluarga," katanya.

-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain