suria

Terkejut 'Pekerja' Pos Malaysia Mahu Buka Surat

Azian mendakwa menerima panggilan daripada wakil Pos Malaysia Berhad pada Khamis berhubung tunggakan kad kredit.

PETALING JAYA: Sindiket penipuan berkaitan kad kredit di negara ini bukan perkara baharu namun mangsa masih terpedaya dengan taktik licik scammer yang mahu mengaut keuntungan dengan cara tidak bertanggungjawab.

Terkini, scammer dipercayai cuba memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai kakitangan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) yang ingin memaklumkan mengenai surat yang tidak dituntut.

Seorang jurugambar di agensi berita tempatan, Azian (bukan nama sebenar), 30, mendakwa menerima panggilan daripada kakitangan agensi itu ketika ingin keluar ke tempat kerja.

"Saya diberitahu terdapat tiga keping surat tidak dituntut yang tertera nama dan alamat rumah saya oleh pemanggil yang mendakwa dia seorang pekerja Pos Malaysia.

"Dia kemudian meminta izin untuk membuka 'surat' itu kerana khuatir ia mengandungi perkara penting," katanya ketika menceritakan tentang kejadian itu kepada mStar Online, Khamis.

Azian dimaklumkan bahawa surat itu adalah daripada sebuah bank tempatan yang meminta agar dia menjelaskan tunggakan kad kredit berjumlah RM4,765.

Kata ibu kepada seorang cahaya mata itu, dia seakan-akan percaya dengan panggilan yang dibuat kerana lelaki tersebut mengetahui butiran peribadinya termasuklah nombor kad pengenalan.

"Dia beritahu permohonan kad kredit itu dibuat di cawangan bank tersebut yang terletak di Melaka Raya pada Ogos 2017.

"Saya keliru kerana setahu saya, saya tidak pernah membuat permohonan kad kredit daripada mana-mana bank," jelasnya.

Wanita itu turut disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka untuk bercakap dengan seorang anggota polis berpangkat sarjan iaitu Shahemy Abd Bakar.

Azian bagaimanapun terpaksa memutuskan panggilan kerana sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Susulan kejadian itu, dia membuat laporan polis selepas dinasihatkan oleh rakan sekerjanya.

"Saya rasa seolah-olah Tuhan memang mahu bantu saya kerana saya tengah dalam keadaan terburu-buru ke tempat kerja ketika panggilan itu dibuat.

"Jika tidak, sudah tentu saya sudah tertipu dengan mereka," katanya.

Sementara itu, Pos Malaysia melalui kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, syarikat itu tidak pernah memberi sebarang kebenaran atau mengarahkan tindakan tersebut untuk dilaksanakan.

"Terdapat beberapa pihak telah meminta data peribadi bagi tujuan memudahcara atau mempercepatkan kiriman barangan (surat) kepada orang awam.

"Kami memohon agar orang awam tidak memberi maklum balas atau mendedahkan data peribadi kepada pihak berkenaan," kata kenyataan itu.

Pos Malaysia, scammer

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain