suria

Lagi Kelas Al-Quran Dalam Jet?

Sharifah Khasif di dalam jet peribadi Falcon 2000. - Ihsan Facebook Elite Jets

PETALING JAYA: Rezeki wanita ini dalam bidang keusahawanan yang berkait rapat dengan kitab suci tidak pernah putus sejak bergelar johan qariah tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 2009.

Namun awal tahun ini, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman hebat diperkatakan kerana mengendalikan kelas mengaji al-Quran pada ketinggian 9,000 meter dalam jet peribadi serba mewah.

ARTIKEL BERKAITAN: Kelas Al-Quran Dalam Jet Mewah RM33,000 Sejam


Tular sebuah video dimuat naik di laman sosial Sharifah Khasif menunjukkan sesi pengenalan kelas mengaji beliau bersama beberapa anak muridnya di dalam pesawat jenis Falcon 2000 yang bernilai AS$21 juta (RM86 juta) sebelum ia berlepas ke Dubai dan pulang semula ke tanah air keesokan hari.

Ketika itu kecoh mengenai caj penerbangan mencecah puluhan ribu ringgit sejam bagi menganjurkan kelas mengaji al-Quran di dalam jet peribadi itu.

Syarikat yang menganjurkan kelas mengaji al-Quran berkenaan, Elite Jets Sdn Bhd menjelaskan bahawa ia merupakan kadar harga standard bagi menyewa pesawat mewah itu.

Peserta yang berminat untuk mengikuti kelas mengaji itu akan dikenakan bayaran mengikut caj penerbangan bagi setiap pesawat yang disewa, meliputi kos operasi untuk minyak, permit, insurans dan penyelenggaraan.

Walaupun jadual agak padat, pengurus kepada Sharifah Khasif, Haryati Mohd Tahar berkata, beberapa penerbangan untuk kelas mengaji al-Quran di dalam pesawat telah dilakukan selepas ia mendapat sambutan amat menggalakkan.

"Antaranya Ustazah (Sharifah Khasif) dah buat (kelas) ke Jeddah," katanya kepada mStar Online sambil menambah bekas johan qariah itu kini terlibat sebagai juri dalam program Tahfiz Muda musim kedua.

Dalam pada itu, Haryati mendedahkan bahawa terdapat sebuah lagi syarikat yang mahu menawarkan perkhidmatan seumpamanya melibatkan personaliti itu.

Katanya, rundingan tersebut mula dilakukan bersama dengan pihak pengurusan Sharifah Khasif sejak dua bulan lalu.

"Bagaimanapun, ia masih dalam peringkat rundingan dan tiada sebarang keputusan yang dibuat.

"Tambahan pula Ustazah (Sharifah Khasif) sibuk dengan jadualnya seperti program Tahfiz Muda ketika ini. Jadi, sebarang keputusan hanya boleh dibuat tahun depan.

"Dan jika sudah ada pengesahan mengenai keputusan itu, barulah kita akan buat pengumuman rasmi," katanya secara ringkas.

Februari lalu, mStar Online melaporkan Elite Jets dengan kerjasama Sharifah Khasif Production Sdn Bhd menganjurkan kelas mengaji al-Quran di dalam jet peribadi, di mana salah satunya adalah jet peribadi mewah Falcon 2000.

ARTIKEL BERKAITAN: Mengaji Al-Quran Dalam Jet: Sasar Pelanggan Jutawan & VIP

Pelbagai pakej ditawarkan berdasarkan permintaan pelanggan, tempoh penerbangan dan jenis pesawat untuk ke mana-mana destinasi ketika mengikuti kelas mengaji itu sama ada di dalam atau luar negara.

Secara purata, caj penerbangan yang dikenakan adalah lebih kurang AS$7,500 (RM30,585) seorang bagi tempoh sejam.

Selain itu, terdapat juga tawaran pada kadar lebih rendah untuk masyarakat merasai pengalaman kelas mengaji di dalam jet peribadi tanpa diterbangkan ke mana-mana.

kelas al-Quran, jet, viral 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain