suria

Wanita Maut Terhidu Asap

Gambar hiasan.

PEKAN: Seorang wanita maut akibat sesak nafas dalam kebakaran di sebuah bengkel motosikal di Kampung Ketapang Tengah, dekat sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Amran Sidek berkata wanita itu Nur Hana Shahirah Mohd Rashid, 23, yang ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik di bengkel itu disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Pekan.

Katanya siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa pergi ke bengkel itu pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari untuk meminta duit daripada kenalannya yang juga pemilik bengkel berkenaan.

“Bagaimanapun lelaki berusia 53 tahun itu enggan memberikan duit menyebabkan mangsa berkeras enggan balik lalu tertidur dalam bilik di premis berkenaan.

"Sebelum itu pemilik bengkel itu sempat memberitahu mangsa bahawa dia hendak keluar ke bandar pada jam 3.30 petang dan telah mengunci pintu bilik kerana bimbang kehilangan barang selepas melihat mangsa tertidur,” katanya.

Beliau berkata ketika berada di bandar, lelaki itu menerima panggilan telefon daripada abang wanita itu yang memaklumkan berlaku kebakaran di bengkelnya menyebabkan dia terus bergegas pulang untuk menyelamatkan mangsa.

"Mangsa ditemukan pengsan di bawah katil dan dikejarkan ke Hospital Pekan untuk mendapatkan rawatan namun disahkan telah meninggal dunia oleh pembantu perubatan,” katanya.

Amran berkata, hasil bedah siasat dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati mangsa meninggal dunia akibat terhidu asap.

“Polis mendapati pemilik bengkel itu positif dadah jenis Methamphetamine dan ditahan reman sehingga 28 Disember ini untuk siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya setakat ini polis mengklasifikasikan kes kematian wanita itu sebagai mati mengejut dan jenazahnya telah dituntut keluarganya dan dikebumikan di tanah perkuburan Makam Condong Pekan, petang Isnin. - BERNAMA

kebakaran, bengkel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain