suria

Jalan Mendap, Terhakis 70 Meter Di Tawau

Foto Facebook.

TAWAU: Rata-rata pengguna jalan raya di Batu 14, Jalan Apas di sini terkejut dengan kejadian jalan raya mendap dan terhakis apabila melalui kawasan tersebut pagi Jumaat.

Seorang pemandu yang mahu dikenali sebagai Harman, 27, berkata dia menyedari kejadian itu ketika dalam perjalanan dari Batu 10 menuju ke lapangan terbang di sini kira-kira 6.45 pagi.

"Saya tidak perasaan jalan itu rosak pada mulanya hingga saya sampai di lokasi, tiba-tiba kereta saya mengeluarkan bunyi kuat hentakan sebelum berhenti. Saya melihat jalan itu mendap dan mulai retak terhakis di sebahagian tempat dalam jarak 60 meter," katanya ketika ditemui di sini, Jumaat.

Seorang lagi pengguna, Arfah Bakar, 37, berkata kejadian jalan raya mendap itu berkemungkinan berlaku awal pagi tadi ekoran semalam jalan raya itu masih dalam keadaan baik.

"Saya tinggal di kawasan Balung. Semalam saya dari rumah kakak di Bandar Sri Indah ke Balung selepas mengambil anak-anak dan jalan raya ini masih baik sekitar 11 malam serta tidak menunjukkan tanda-tanda akan rosak," katanya.

Sementara itu, Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya Tawau Saiman Ibrahim ketika ditemui di lokasi kejadian berkata pihaknya menerima aduan awam kira-kira 7.01 pagi dan pemeriksaan JKR mendapati jalan itu rosak sejauh 0.07 kilometer (70 meter).

Ekoran itu, katanya jalan tersebut tidak boleh dilalui semua kenderaan untuk sementara waktu kerana hingga 12 tengah hari ini jalan itu mendap dan ada yang terhakis hingga 0.24 meter dalam.

"Kerja-kerja menyelenggara jalan akan dilaksanakan secepat mungkin dan untuk keselamatan pengguna jalan, kita akan buat lencongan jalan sejauh 1.9 kilometer," katanya.

Beliau berkata jalan lencongan akan dibuka di laluan bertentangan iaitu (laluan) menghala ke bandar Tawau dan pengguna jalan disaran tidak memandu laju dan berhati-hati untuk keselamatan bersama.

"Laluan bertentangan ini akan dijadikan jalan dua hala iaitu satu lorong menuju ke Bandar Tawau dan satu lorong lagi menuju ke Balung," katanya sambil menambah punca kejadian masih dalam siasatan.

Hasil tinjauan di lokasi kejadian mendapati mendapan dan rekahan dipercayai berlaku pada setiap minit dan pihak JKR giat melakukan kerja-kerja menutup jalan untuk proses penyelenggaraan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Punca kejadian disyaki akibat paip bawah tanah pecah sehingga berlaku mendapan dan hakisan tanah. - BERNAMA

jalan mendap, Tawau

Artikel Lain