suria

Keluarga Pertimbang Saman Cikgu Azizan

NILAI: Keluarga seorang murid berusia 11 tahun yang mendakwa ditampar Cikgu Azizan nampaknya terkilan dengan keputusan mahkamah melepaskan guru tersebut dan mempertimbangkan untuk memfailkan saman sivil terhadapnya.

Ibu murid itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 45, berkata mereka mempunyai bukti yang cukup bagi menyokong dakwaan terhadap Cikgu Azizan.

"Kami ada gambar dan laporan perubatan untuk membuktikan anak kami ditampar dan mengalami kecederaan dipipinya," kata wanita itu.

Pada masa sama, Mas mendakwa sekolah tersebut juga tidak memaklumkan kepada dia dan juga suaminya mengenai masalah disiplin anak lelakinya itu.

"Kami tidak pernah diberitahu bahawa dia ada masalah disiplin. Kami hanya dimaklumkan selepas insiden dia ditampar," katanya.

Mas turut mendakwa keluarganya tahu bahawa anak lelakinya itu membeli gam tetapi ia digunakan untuk menampal tayar basikalnya yang bocor.

Jelas wanita itu, keluarganya tidak menolak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Cikgu Azizan.

"Kami akan bertemu dengan pegawai penyiasat esok dan kemudian memutuskan tindakan selanjutnya," kata Mas.

Ketika dihampiri selepas prosiding mahkamah, bapa kepada murid tersebut berkata dia belum bersedia untuk bercakap dengan wartawan.

"Saya dan keluarga amat tertekan sejak kes ini menjadi tular," katanya.

Cikgu Azizan

Artikel Sebelum

Bapa Nafi Keluarga Nak Saman

Artikel Berikut

Tular Buat Charisa Takut!

Artikel Lain