suria

Rela Tukar Nama Kerana...

Gerai Nasi Lemak Pondan yang diusahakan Jojie sejak Mac lalu terus mendapat sambutan.

PETALING JAYA: Nasi lemaknya pernah heboh satu Malaysia malah turut menjadi perhatian luar negara, sehingga menjadi fenomena awal tahun ini.

Hanya kerana nama gerainya menyentuh sensitiviti Malaysia, Nasi Lemak Pondan yang diusahakan seorang transgender telah tular dan mencetuskan kontroversi.

Namun selepas mengambil kira nasihat dan teguran ramai, dia tidak lagi memakai blaus atau baju kurung, sebaliknya berkemeja-T dan seluar panjang semasa berniaga. 

Biarpun pada mulanya dikecam hebat, tetapi keenakan nasi lemak resepi air tangan ibunya dan mesra dengan pelanggan membuatkan dirinya yang lebih dikenali sebagai Jojie Kamaruddin tidak menang tangan melayani pelanggan di gerai.

“Saya sudah beroperasi selama sembilan bulan sejak Mac lalu, jatuh bangun hujan ribut malah pernah dimaki hamun tetapi saya masih bertahan menjual nasi lemak.

“Alhamdulillah, Nasi Lemak Pondan menjadi tular dan ia terus mendapat sambutan sehingga ke hari ini dengan ramai pelanggan tetap,” katanya kepada mStar Online.

Jojie Kamaruddin.

Bagaimanapun Jojie berkata, setiap perniagaan ada dugaannya dan dia sendiri mengakui pernah melaluinya beberapa kali sebelum ini, dipercayai angkara khianat.

Berkongsi pengalamannya, kata Jojie, dugaan bermula apabila kelengkapan gerainya dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab pada Oktober lalu.

“Meja lipat yang digunakan untuk berniaga bukan sahaja dirosakkan, malah payung gerai kemudian dikoyakkan. Kesemua kelengkapan juga dicuri bulan lalu.

“Mujur saya masih ada sebuah gerai lagi yang baru dibuka sejak September lalu. Tapi malangnya awal bulan ini, kelengkapan gerai yang kedua ini diangkut pula oleh pihak berkuasa,” ujar Jojie sambil menambah satu demi satu dugaan itu membuatkan dia hampir berputus asa sehingga berkurung dalam rumah.

Namun sokongan keluarga dan pelanggan setia memberi semangat kepada Jojie untuk terus berniaga di Bandar Sri Permaisuri di Cheras, Kuala Lumpur.

“Buat sementara waktu, saya buka gerai menggunakan kelengkapan niaga milik ibu. Gerai Nasi Lemak Pondan kembali beroperasi seperti biasa,” katanya.

Banyak dugaan yang dilalui Jojie sejak mengusahakan gerai nasi lemaknya.

Dalam pada itu, mempunyai premis makanan di lokasi tetap dan berlesen merupakan impian buat anak kelapan daripada 15 beradik ini suatu hari nanti.

Mempunyai premis tetap sendiri seperti di medan selera akan memudahkan persiapan untuk menyediakan nasi lemak dan operasi perniagaan menjadi lebih cekap.

Malah kata Jojie, dia sedia untuk menukarkan nama gerainya Nasi Lemak Pondan kepada Nasi Lemak Jie sekiranya impian itu ditunaikan.

“Saya sedia tukar nama kepada Nasi Lemak Jie kerana orang dah kenal siapa saya. Saya bercadang untuk memohon premis makanan yang disediakan kerajaan.

“Saya mahu terus melangkah ke hadapan dan premis ini menjadi permulaan kepada hasrat saya untuk mempunyai restoran sendiri pada masa akan datang,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Rela Kaki Terkulai

Artikel Lain