suria

Dua Pegawai SPRM Ditahan Jais

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan di sebuah kondominium di Seri Kembangan, Selangor pada awal pagi Sabtu.

Bercakap kepada mStar Online, sumber Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan mengenai satu tangkapan dalam operasi penguatkuasaannya di Seri Kembangan pada kira-kira pukul 3 pagi.

“Operasi melibatkan empat pegawai penguatkuasaan Jais. 

"Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan mengenai kedua-dua individu yang ditahan,” katanya ketika ditanya sama ada dua yang ditahan merupakan pegawai SPRM.

Sumber Jais menambah, kenyataan media berhubung tangkapan akan dikeluarkan kemudian.

Difahamkan, kedua-dua pegawai SPRM itu ditahan kerana disyaki dalam keadaan mencurigakan di sebuah unit di kondominium di Taman Equine, Seri Kembangan. 

Sementara itu, sumber SPRM ketika dihubungi berkata, pihaknya maklum mengenai dua pegawainya ditahan Jais.

Turut difahamkan, lelaki yang ditahan adalah pengarah di salah satu bahagian SPRM, manakala pasangannya bertugas di bahagian yang mengendalikan urusan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Kedua-dua mereka yang tidak ada sebarang hubungan disoal siasat dibebaskan dengan diikat jamin secara lisan berjumlah RM1,500. 

SPRM, Jais

Artikel Lain