Kilang Mi, Kuetiau Tiada Sijil Halal Sah Diserbu - Semasa | mStar

Kilang Mi, Kuetiau Tiada Sijil Halal Sah Diserbu

BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang pada Khamis menyerbu sebuah kilang memproses mi dan kuetiau di Mak Mandin, di sini kerana menyalah guna logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Bertindak hasil maklumat daripada orang awam yang curiga dengan status halal produk yang dikeluarkan kilang itu, sepasukan penguatkuasa KPDNKK Seberang Perai Utara (SPU) bersama pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menyerbu premis berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari.

Ketua Cawangan KPDNKK SPU, Zalina Aziz berkata, ketika serbuan ke atas kilang itu terdapat beberapa pekerja sedang membungkus mi dan kuetiau menggunakan plastik tertera logo halal.

Katanya, siasatan awal mendapati produk mi dan kuetiau yang dikeluarkan premis terbabit dipasarkan sekitar Pulau Pinang.

"Produk berkenaan dibungkus menggunakan plastik tertera logo halal JAKIM tetapi pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan tidak mempunyai sijil halal sah.

"Berikutan itu, kami menyita 175.1 kilogram plastik bercetak logo halal dan 15,600 keping pelekat logo halal dari premis berkenaan," katanya di sini, Khamis.

Zalina berkata, pihaknya turut mengarahkan kilang itu untuk memberhentikan kerja-kerja memproses mi dan kuetiau sehingga siasatan dijalankan selesai.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya turut mengambil keterangan pemilik premis berkenaan berusia 50-an untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. - Bernama

KPDNKK , sijil halal

Artikel Sebelum

Rahman Dahlan Lantik Peguam Isu Rafizi

Artikel Berikut

SPRM Akan Terus Dakwa Satu Kes Tiap Minggu

Artikel Berkaitan

Lebih 200 Susu Formula Tiruan Dirampas

"Dia Yang Terlalu Sibuk" - Kakak Meghan

Lebih Artikel

Coklat tumpah, panggil bomba!