suria

Bas Terbakar Di PLUS

Foto kredit: Jabatan Bomba Dan Penyelamat Yong Peng

JOHOR BAHRU: Seramai 31 pelancong warga Indonesia berdepan detik cemas apabila bas persiaran yang mereka naiki terbakar dalam kejadian di kawasan Yong Peng di Kilometer 99,  Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, pagi Khamis.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, kesemua mereka dan pemandu bas berkenaan bagaimanapun sempat menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng PB Nazari Keling, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian enjin kenderaan.

Namun begitu, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kebakaran.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, seorang wanita warga emas cedera di bahagian pinggul gara-gara terjun dari tingkat dua sebuah rumah banglo yang terbakar di Kampung Wadihana, di sini, Rabu malam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, PBK II Mohd Haizrul Rahmad berkata wanita berusia 61 tahun itu merupakan antara 20 penyewa di rumah berkenaan, namun penyewa lain tidak cedera kerana sempat menyelamatkan diri.

"Kejadian dilaporkan kepada bomba pada 11.05 malam sebelum sembilan anggota bersama dua jentera digegaskan ke tempat kejadian.

"Operasi memadamkan kebakaran turut dibantu lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau dan Skudai menggunakan dua jentera," katanya.

Beliau berkata rumah tersebut musnah keseluruhannya kerana api merebak dengan pantas berikutan rumah telah diubahsuai  menjadi 13 bilik sewa selain terdapat ruang memasak di setiap bilik berkenaan."Kami menjumpai sekurang-kurangnya 10 tong gas di bilik-bilik berkenaan," katanya. -Bernama

Bas Terbakar, Plus

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain