Cendol Baling Tumpas - Semasa | mStar

Cendol Baling Tumpas

BALING: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling  menumpaskan Geng Cendol yang aktif melakukan kegiatan curi motosikal di sini.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Sharifuddin Yusof berkata ini berikutan tertangkapnya tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita pada 13 Nov lalu di Kuala Menora, Kuala Ketil.

"Hasil siasatan daripada tangkapan pertama itu, pihak polis  telah mengenal pasti suspek utama yang digelar ‘Cendol' dan beberapa anggota  kumpulan lain yang bekerjasama dengan suspek dalam kegiatan mencuri motosikal di kawasan Baling, Kuala Ketil, Kupang dan Malau," katanya ketika sidang media di IPD Baling di sini, Khamis.

Katanya, bertindak atas maklumat dan siasatan, Op Lejang dilancarkan selama 20 hari bermula 15 Nov hingga 4 Dis untuk memburu Geng Cendol.

"Hasilnya, polis berjaya menangkap 10 anggota Geng Cendol dalam lingkungan umur 16 hingga 30-an dan sekali gus menyelesaikan 25 kes kecurian motosikal di Baling.

"Sebanyak enam motosikal, 15 rangka motosikal dan empat enjin turut dirampas ekoran tangkapan tersebut," katanya.  Sharifuddin berkata siasatan juga mendapati Geng Cendol ini turut aktif mencuri motosikal di Kulim dan Kuala Muda sejak awal tahun ini dan terbabit dengan lebih 50 kes kecurian motosikal di daerah tersebut.

Beliau berkata sasaran motosikal adalah jenis Honda EX5, Yamaha 125 Z, Yamaha 135 LC, SYM dan Kriss, yang mana motosikal tersebut tidak mempunyai kunci tambahan.

"Motosikal yang dicuri akan disimpan di rumah Cendol sebelum dijual dan biasanya tidak akan disimpan melebihi 24 jam. Motosikal tersebut dijual antara RM250 hingga RM800 dan segala bayaran akan dibayar terus kepada Cendol tanpa melibatkan orang tengah," katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan akan dihukum penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan denda.

Cendol , Baling , Polis

Artikel Sebelum

Jejambat 'Makan' Kereta

Artikel Berikut

Geng 'Basikal Lajak' Buat Hal Lagi!

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

"Mereka tidak layak cakap pasal hoki"