suria

Larangan Bertudung Cabar Sensitiviti Umat Islam

Gambar hiasan. Foto AP

SHAH ALAM: Larangan terhadap wanita Muslimah memakai tudung sekalipun hanya waktu bertugas adalah tindakan yang mencabar sensitiviti umat Islam.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, dalam soal menutup aurat wanita Muslimah, selayaknya galakan diberi kepada golongan ini agar mereka menutup aurat.

"Saya akan mengadakan pertemuan dengan pihak Persatuan Hotel Malaysia dan pihak berkenaan bagi menjelaskan perkara ini di samping mengembalikan hak beramal dengan ajaran Islam kepada wanita Muslimah dalam pelbagai sektor di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline). 

Isu ini tercetus apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan kakitangan hotel mengadu pekerja wanita Islam diarahkan menanggalkan tudung mereka.

"Kenapa isu seperti ini berlaku dalam Malaysia meskipun negara mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan? Umat Islam tidak bebas mengamalkan ajaran Islam di dalam negara sendiri semata-mata alasan polisi antarabangsa sedangkan hotel-hotel  tersebut beroperasi dalam negara ini," katanya.

Lebih penting katanya, tudung bukan menjadi penghalang untuk hasilkan mutu kerja, tetapi ia adalah perintah agama Islam yang wajib ditaati. - Sinar Online

tudung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Teleng Kepala Di Lebuh Raya?

Artikel Lain