suria

19 Penuntut UPNM Mengaku Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR: Sembilan belas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap rakan mereka, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, Mei lalu.

Kesemua mereka iaitu yang berusia 21 tahun itu iaitu; Mohd. Hafiz Fauzan Ismail; Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd. Zain; Ahmad Shafwan Berdal; Muhammad Amirul Asraff Mala;  Luqman Hakim Shamsuri; Muhammad Sufi Mohd Mustapha; Noriznan Izzairi Noor Azhar; Muhamad Ashraf Abdullah;  Muhammad Danial Firdaus Azmir; Muhammad Hasif Ismail; Muhammad Akmal Akif Alias; Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany; dan Mohamad Syazwan Musa.

Tertuduh lain ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd. Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat; Mohamad Shobirin Sabri; Abdoul Hakeem Mohd Ali; membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa  dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan Osman bagi maksud hendak memeras mangsa untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05 Blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei lalu dan di bilik 04-10, asrama sama, antara 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei lalu.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, enam daripada 19 penuntut itu menghadapi pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin dan Abdoul Hakeem.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Abdoul Hakim pula didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan lima tertuduh membunuh mangsa di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah dan Nurakmal Farhan Aziz manakala Datuk Hazizah Kassim, Mohd. Fadly Hashim, Zambri Idrus, Joshua Tay,  Nurul Syuhada Abdullah dan Datuk Hazman Ahmad mewakili kesemua tertuduh.

Mahkamah menetapkan 8 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pada 10 November lalu, enam tertuduh yang didakwa membunuh dan bersubahat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Dalam kejadian itu, Zulfarhan Osman  meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun lalu, selepas mengalami kesan lecur pada bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap.- Sinar Harian


UPNM, Zulfarhan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Trump Puji Najib

Artikel Lain