suria

Dua Penduduk Tioman Hilang Kini Selamat

ROMPIN: Dua penduduk Pulau Tioman, yang dilaporkan hilang di laut sejak Rabu, ditemukan selamat di Pulau Jemaja, berhampiran Kepulauan Riau pada Sabtu.

Salmah Kasim, 23,  yang merupakan kakak seorang daripada mangsa berkata adiknya, Mohd Abdul Lattif, 20, menghubungi keluarganya kira-kira 4 petang tadi bagi memaklumkan keadaan mereka.

"Adik beritahu mereka berada dalam keadaan selamat di pulau itu dan sedang menjalani rawatan di hospital. Kami sekeluarga sangat bersyukur mendengar khabar berita mereka selepas tiga hari hilang.

"Kami dimaklumkan bahawa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pasukan keselamatan lain akan ke pulau itu untuk mengesahkan perkara tersebut," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Pada Rabu, Mohd Abdul Lattif  dan Amat Mohamat, 50, dilaporkan hilang selepas bertolak dari jeti Sungai Puteri, Kuala Rompin pada 1.30 petang untuk pulang ke pulau itu dengan menaiki bot gentian kaca yang baharu dibeli mereka.

Mereka, yang merupakan pemandu pelancong, bagaimanapun tidak tiba ke pulau itu sehingga waktu malam sedangkan perjalanan tersebut lazimnya mengambil masa sejam, menyebabkan anggota keluarga membuat laporan polis.

Sehubungan itu, polis memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai APMM, Jabatan Laut Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan penduduk tempatan.

Operasi juga melibatkan penggunaan aset udara dan hari ini ia diperluas sehingga merangkumi radius 25 batu nautika di barat pulau itu.  Difahamkan, kedua-dua mangsa ditemui kumpulan nelayan Indonesia dan dibawa ke kepulauan itu untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azli Mohd Noor berkata pihaknya sedang berusaha untuk mengesahkan maklumat yang diterima anggota keluarga mangsa. - Bernama


hilang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain