suria

Waris Mangsa Maut Kemalangan Terima Faedah Perkeso

TAPAH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) cawangan Tapah pada Jumaat menyampaikan cek Faedah Pengurusan Mayat kepada waris seorang daripada sembilan mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya di KM 45, Jalan Ipoh-Teluk Intan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Negeri, Datuk Samsuddin Abu Hassan menyampaikan cek bernilai RM2,000 kepada pasangan suami isteri Lew Tilia dan Chan Moon Lai, bapa dan ibu kepada mangsa Lew San Jau dalam majlis ringkas di sini yang turut dihadiri Pengurus Perkeso Tapah Sufian Shahuri Salleh.

Lew, 32, maut bersama lapan yang lain dalam kemalangan membabitkan van dan lori ais bertembung ketika van dinaiki mereka dalam perjalanan ke tempat kerja di ladang sengkuang di Malim Nawar, Kampar, pada pagi 28 Oktober lepas.

Selain Lew yang juga pemandu van, lapan lagi penumpang kenderaan itu yang semuanya wanita ialah Thong For Thye, 52; Cheong Ka Yean, 55; Wong Yok Yen, 61; Yow Sam Mooi, 67; Cheong Moy, 68; Tang Kam Siew, 73; Liew Siew Fah, 81 dan Chong Moi, 82.

Samsuddin berkata, Perkeso sentiasa mengambil tindakan pantas menerusi Skuad Perkeso Prihatin bagi membantu pencarum yang terlibat dalam sesuatu kemalangan.

"Saya hargai tindakan Perkeso dalam konteks tanggungjawab sosial korporat bagi memastikan proses pembayaran faedah kepada pencarum atau waris dibuat dengan secepat mungkin bagi meringankan beban mereka susulan kemalangan," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Kuning berkata dalam konteks pengurusan, Perkeso bukan hanya berikan perkhidmatan di kaunter semata-mata sahaja tapi mereka juga datang sendiri tawarkan perkhidmatan dan bantuan.

Kesemua sembilan waris menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat bagi menguruskan pengkebumian manakala lima waris mangsa layak menerima Faedah Orang Tanggungan yang dibayar kepada duda dan anak-anak di bawah umur 21 tahun. - Bernama

Perkeso

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain