suria

Pukul Anggota Rela, ‘Datuk Seri’ Patut Ditarik Balik

Danny Ooi.

PETALING JAYA: Sultan yang mengurniakan gelaran Datuk Seri kepada lelaki yang didakwa memukul tiga anggota Rela pada Jumaat lalu perlu menarik balik gelaran tersebut sekiranya lelaki terbabit hanya menerima satu kurniaan, kata Presiden Majlis Datuk Persekutuan Malaysia, Tan Sri Danny Ooi.

Ooi berkata, mana-mana individu yang mempunyai kedudukan yang baik dan memegang gelaran tersebut tidak seharusnya mengambil tindakan sedemikian.

"Mereka mesti menghormati pasukan beruniform.

"Saya berharap jika berita ini diketahui Sultan yang mengurniakan gelaran itu, ia seharusnya ditarik balik," kata Ooi pada sidang media.

Dilaporkan lelaki bergelar Datuk Seri itu hilang sabar lalu memukul tiga anggota Rela yang sedang bertugas kerana dianggap tidak menunjukkan rasa hormat terhadapnya.

Sebuah video merakamkan insiden itu, menunjukkan seorang lelaki memukul ketiga-tiga anggota Rela berkenaan tanpa pukulan balas.

Ooi menjelaskan bahawa lelaki tersebut bukan dalam kalangan anggota majlis.

"Anggota kami mendapat gelaran yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong di peringkat persekutuan," katanya.

Beliau berkata, walaupun penganugerahan gelaran Datuk di bawah bidang kuasa Sultan dan Yang Dipertuan Negeri, penerima kurniaan perlu melalui semakan terperinci mengenai latar belakang mereka.

"Saya percaya ini telah pun dilaksanakan dan terpulang kepada kerajaan negeri untuk menjalankan semua semakan yang diperlukan," katanya.

Ooi berkata, majlis itu akan bertemu dengan pihak polis mengenai masalah pengurniaan gelaran yang meragukan daripada institusi yang tidak diiktiraf.

"Kita berharap pihak polis dapat menubuhkan hotline supaya orang ramai dapat memberi maklumat apabila mereka mengenal pasti individu yang menggunakan gelaran palsu," katanya.

Artikel Sebelum

Mayat Sah Pendaki Malaysia

Artikel Berikut

Artikel Lain