suria

Suspek Tikam Sohaimi Ditahan

Sohaimi cedera ditikam oleh jirannya yang dipercayai kurang siuman.

KUALA LUMPUR: Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan cedera selepas ditikam oleh jirannya yang dipercayai kurang siuman dalam kejadian di hadapan rumahnya di Sungai Buloh, dekat sini malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S. Somu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam, Sohaimi dikatakan berkunjung ke rumah jirannya untuk memaklumkan ibu bapa suspek berhubung kelakuan lelaki berusia 20-an itu yang membaling batu ke rumahnya sehingga terkena anak saudaranya.

"Lelaki itu kemudian menikam Sohaimi di bahagian belakang kepala dan bahu kanan serta turut menikam anak saudara lelaki Sohaimi yang datang untuk membantunya di bahagian kepala dan pipi menggunakan objek tajam," katanya ketika dihubungi Bernama.

Somu berkata, polis yang dimaklumkan kejadian itu telah menahan suspek manakala Sohaimi dan anak saudaranya dihantar ke Hospital KPJ di Damansara untuk mendapat rawatan kecemasan dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. - Bernama

Sohaimi Shahadan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Sohaimi Ditikam Di Kepala, Bahu

Artikel Lain