suria

Budak Sembilan Tahun Ditemukan Lemas

Bomba mencari mayat Muhammad Fakrul yang terjatuh ke dalam parit berhampiran Jalan Helang 2, Taman Scientex, Pasir Gudang. foto Facebook

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki sembilan tahun ditemukan lemas  selepas terjatuh ke dalam parit berhampiran Jalan Helang 2, Taman Scientex, Pasir Gudang, dekat sini, petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Jokhiri Abd Aziz berkata mangsa, Muhammad Fakrul Najman Fauzi yang juga murid Sekolah Kebangsaan Nusa Damai, Pasir Gudang itu dipercayai sedang bermain di tepi parit berkenaan bersama seorang rakan pada 3 petang Khamis sebelum terjatuh.

"Ketika bermain, secara tiba-tiba mangsa tergelincir dan terus dihanyutkan air. Rakan mangsa kemudiannya segera pulang untuk dapatkan bantuan," katanya menerusi kenyataan di sini Jumaat.

Beliau berkata ketika kejadian hujan sedang lebat dan air di dalam parit selebar kira-kira 20 kaki dan 15 kaki dalam itu mengalir deras sehingga ke Sungai Kim-Kim, Pasir Putih iaitu kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat dimulakan petang semalam melibatkan seorang pegawai dan tujuh anggota polis, seorang pegawai dan 19 anggota bomba, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam serta lapan anggota Rukun Tetangga ditangguh pada 12 malam tadi dan disambung semula 7 pagi Jumaat.

Jokhiri berkata mayat kanak-kanakitu dijumpai pasukan penyelamat pada 8.30 pagi tadi di terusan sungai berhampiran lampu isyarat Taman Bacang, Jalan Kong Kong-Masai, kira-kira sembilan kaki di bahagian bawah dasar sungai.

"Mayat dijumpai dalam keadaan sempurna fizikal dan lengkap berpakaian cuma sedikit kembung dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail, di sini, pada 9.30 pagi tadi untuk bedah siasat," katanya dengan menambah operasi itu dihentikan pada 10 pagi Jumaat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Timbalan Penguasa Bomba Ibrahim Omar yang dihubungi berkata mayat kanak-kanak itu ditemukan kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia jatuh.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pada 4.50 petang Khamis. - BERNAMA 

lemas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain