suria

Tokoh Sejarah Negara Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Tokoh sejarah negara Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid, 84, meninggal dunia di kediamannya di Seksyen 14, Petaling Jaya pada Isnin akibat jangkitan paru-paru.

Allahyarham meninggalkan isteri Badariah Abdul Hamid, 81, dua anak lelaki, Zainal Izmi, 53, dan Zainal Izlan, 50, serta lima orang cucu.

Zainal Izmi berkata ayahnya meninggal dunia 10 pagi Isnin.

“Ayah sudah lama terlantar sakit dan sejak dua hingga tiga bulan ini keadaan beliau menjadi semakin tenat dan uzur.

“Tiada apa yang diperkatakan beliau sejak kebelakangan ini namun, kata-kata dan nasihatnya sering diingati saya.

“Berani kerana benar, takut kerana salah merupakan kata-kata yang sering diungkapkan kepada kami ketika kecil dan ayah merupakan seorang yang sangat tegas, penyayang dan lurus orangnya,” katanya kepada pemberita selepas pengebumian tokoh sejarawan itu.

Allahyarham Zainal Abidin merupakan anak kelahiran Teluk Intan, Perak dan bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar serta merupakan seorang tokoh sejarawan negara yang banyak memberi sumbangan dalam bidang sejarah di negara ini.

Hampir sepanjang hayatnya berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selain memainkan peranan penting dalam penubuhan Jabatan Sejarah di UKM sepanjang lebih dua dekad merupakan pencapaian penting dalam kerjaya akademiknya.

Allahyarham Zainal Abidin aktif dalam bidang pengajian sejarah yang menitikberatkan pendekatan dan isi kandungan tempatan dan dunia.

Beliau juga aktif dalam persatuan sejarah, penerbitan jurnal, seminar, syarahan umum dan sebagai pakar rujuk oleh institusi di dalam dan luar negara.

Antara karya yang pernah dihasilkannya ialah Manusia dan Kemajuan pada tahun 1961, History Teaching: Its Problems in Malaya (1964), dan Glimpses of Malaysian History (1970).

Jenazah Allahyarham dikebumikan pada 5.40 petang Isnin di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damanasara. - BERNAMA   

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain