suria

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

GEORGE TOWN: Kesemua 11 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek pembinaan perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini telah dijumpai.

Dua mayat terakhir seorang warga Bangladesh, Muhammad Monirul Islam dan warga tempatan Yuan Kouk Wern, 27, ditemukan pagi Isnin.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus berkata proses mengeluarkan mayat Muhammad Monirul tidak mengambil masa lama ekoran keadaan persekitaran yang mudah.

Bagaimanapun katanya proses mengeluarkan mayat terakhir yang juga rakyat tempatan mungkin mengambil sedikit masa kerana mangsa dihempap jeriji besi.

"Mayat ke-11 yang merupakan rakyat tempatan dan terakhir dijangka dapat dikeluarkan sebelum tengah hari ini (Isnin)," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Hingga kini, sebanyak 10 mayat telah dibawa keluar dari kawasan runtuhan iaitu tiga warga Myanmar, Yunus Nazir Huson, Muhammad Elyas Mustak dan Rahmatullah Mohd Sidiq; empat warga Bangladesh Hossen Mia, Nur Alam, Rahaman Abdur dan Muhammad Monirul; dua warga Indonesia Hosrin Sharif dan Erwin Salis serta seorang rakyat Pakistan Raza Ali.

Ketika kejadian pada 8.57 pagi Sabtu, kesemua 11 mereka sedang bekerja di bahagian bawah bangunan yang sedang dibina itu apabila tanah lereng bukit itu runtuh dan menimbus mereka.

Difahamkan kerja-kerja yang sedang dijalankan ialah pembinaan struktur tingkat bawah tanahbangunan 50 tingkat projek milik syarikat swasta itu. - Bernama

Tanjung Bungah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain