suria

Jasad Mendiang Yeoh Tiong Lay Selamat Disemadikan

Jasad mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay tiba bagi upacara persemadian di Nilai Memorial Park pada Ahad. Foto Bernama

NILAI: Jasad mendiang Pengasas Syarikat Kumpulan YTL, Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay selamat disemadikan di Taman Peringatan Xiao En di sini, Ahad, pada kira-kira pukul 4.40 petang.

Suasana tenang dan cuaca cerah mengiringi perjalanan terakhir mendiang Yeoh sebelum disemadikan.

Perarakan yang membawa jasad mendiang Yeoh menggunakan kereta mewah Mercedes Benz tiba di Taman Peringatan Xiao En pada kira-kira pukul 3.15 petang, diiringi kira-kira 40 buah kereta dan lapan buah bas.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi seluruh anggota keluarga termasuk jemputan yang hadir pada istiadat pengebumian berkenaan. 

Bagaimanapun ekoran kekangan kesihatan, isteri mendiang Puan Sri Tan Kai Yong tidak dapat menghadiri upacara pengebumian mendiang suaminya itu.

Hadirin turut bertafakur selama kira-kira dua minit diikuti upacara meletakkan kalungan bunga berhampiran tempat persemadian.  

Antara orang kenamaan yang hadir ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili, Pengerusi Eksekutif IOI Group Tan Sri Lee Shin Cheng, Pengerusi Lion Group Malaysia Tan Sri William Cheng, Duta Besar Kemboja di Malaysia Puteri Norodom Arunrasmy.

Upacara persemadian telah bermula kira-kira pukul 10 pagi di kediaman keluarga mendiang di Lorong Buloh Perindu 1, Damansara Heights, Kuala Lumpur, yang dihadiri kira-kira 3,000 orang, sebelum jasad mendiang dibawa ke Taman Peringatan Xiao En.

Sebelum ini, upacara penghormatan terakhir telah diadakan selama empat hari bermula Rabu lepas, di kediaman keluarga di Lorong Buloh Perindu 1, Damansara Heights, Kuala Lumpur dengan dihadiri kira-kira 12,000 orang.

Yeoh yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif YTL Corporation dan YTL Power International meninggal dunia Rabu lepas pada usia 88 tahun.

Hasil perkahwinan mendiang Yeoh dengan Puan Sri Tan Kai Yong, mereka dikurniakan tujuh orang anak iaitu Tan Sri Dr Francis Yeoh Sock Ping, Datuk Yeoh Soo Min, Datuk Dr Victor Yeoh Seok Kian, Datuk Yeoh Seok Hong, Datuk Seri Michael Yeoh Sock Siong, Datuk Yeoh Soo Keng, Datuk Mark Yeoh Seok Kah, serta mempunyai 27 cucu dan lima cicit.

YTL Corp merupakan antara 30 syarikat terbesar disenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, membentuk antara syarikat komponen FTSE Bursa Malaysia KLCI, indeks penanda aras utama bursa.

Yeoh mula membina empayar perniagaannya pada usia 22 tahun, apabila menyelesaikan projek pertamanya dan meraih keuntungan RM5,000 - keuntungan yang dianggap sangat baik ketika itu pada tahun 1950-an.

Sejak itu, beliau meneruskan kerjayanya di sektor pembinaan dan memperluas kehadiran Kumpulan YTL di sektor lain dengan kini merupakan satu daripada konglomerat terbesar yang tersenarai di Bursa Malaysia, dengan kepentingan perniagaan daripada pembinaan, penjanaan kuasa, perhotelan, pembangunan hartanah dan telekomunikasi. - Bernama

Yeoh Tiong Lay, YTL

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain