suria

Lebih 100 Warga Asing Ditahan Di Gudang Pasar Raya

PETALING JAYA: Lebih 100 warga asing ditahan dalam satu serbuan oleh Jabatan Imigresen di sebuah gudang di Jalan Kebun, Klang.

Dalam serbuan pada pukul 3.30 petang Isnin, satu pasukan daripada jabatan itu melakukan pemeriksaan ke atas 150 warga asing yang bekerja di gudang milik rangkaian pasar raya utama di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, seramai 113 daripada mereka yang diperiksa tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"113 warga asing itu terdiri daripada 40 warga Nepal, 39 warga Bangladesh, 27 warga Pakistan dan dua warga India serta lima rakyat Vietnam," katanya.

Mustafar berkata, seramai 143,868 warga asing telah diperiksa oleh pegawai imigresen dalam 12,249 operasi yang dijalankan setakat tahun ini.

"Daripada jumlah itu, seramai 37,909 warga asing didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah," katanya sambil menambah bahawa 1,087 majikan juga telah ditahan dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata, jabatan itu juga telah menghantar pulang seramai 42,985 warga asing tanpa izin bagi tahun ini.

"Kami mendesak orang ramai supaya tidak memberi perlindungan kepada warga asing tanpa izin atau berdepan risiko tindakan undang-undang.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai individu yang menggunakan warga asing dinasihatkan supaya segera menghubungi kami," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain