suria

Mangsa Banjir Kota Belud Kini 1,503 Orang

Penduduk setempat bersama beberapa anggota penyelamat yang terlibat memantau keadaan banjir yang melanda Kota Belud. - Facebook/ Kota Belud Kota Banjir

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Daerah Kota Belud yang ditempatkan di enam pusat pemindahan  sehingga jam 8.45 malam tadi, mencecah 1,503 orang.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, daripada jumlah berkenaan seramai 272 orang ditempatkan di Dewan Masyarakat Tun Said, Dewan Muhibbah Kampung Tombol (224), Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi 1 (400), Dewan SMK Taun Gusi 2 (390),Dewan SMK Agama Tun Said (181) dan Dewan Gopong Kampung Taginambur (36).

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Daerah Tuaran  yang ditempatkan di SMK Sri Nangka ialah 34 orang, menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah.

Menurut APM, setakat ini sebanyak 21 kampung di daerah berkenaan terjejas  dengan banjir ekoran hujan berterusan sejak beberapa hari lepas.

Dalam perkembangan lain, 30 individu daripada lapan keluarga di Kampung Kolam Damai Minintod di daerah Penampang terpaksa dipindahkan ke Dewan Lembaga Sukan Penampang apabila tiga  rumah yang mereka diami diancam tanah runtuh.

Menurut APM, mereka dipindahkan ke dewan berkenaan kira-kira jam 9.50 pagi tadi selepas APM menerima aduan daripada Pegawai Daerah Penampang. - Bernama

banjir, Kota Belud

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain