suria

PDRM Sedia Buat Ujian DNA Mayat Mahmud

Dr Mahmud Ahmad

MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap mayat yang didakwa militan Malaysia Dr Mahmud Ahmad jika diminta oleh pihak berkuasa Filipina.

Malah kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, pihaknya telah membuat persiapan awal dengan mengambil sampel DNA anggota keluarga bekas pensyarah itu yang kini menetap di Selayang, Selangor.

“Kita perlu lihat mayat dahulu jika beliau terbunuh dan jika mayat hancur kita perlu jalani ujian DNA terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Wacana Kelestarian dan kehormatan Negara peringkat  Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka pada Sabtu yang dirasmikan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Ayob Khan mengulas laporan media yang berkata Presiden Filipina Rodrigo Duterte  mengesahkan bekas pensyarah rakyat Malaysia itu antara pemimpin kumpulan militan yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Filipina di Marawi pada Rabu lalu.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata pihak berkuasa Malaysia juga masih menunggu kenyataan rasmi daripada kerajaan Filipina berhubung kematian bekas pensyarah itu.

“Kita tidak boleh mengambil kenyataan yang dilaporkan oleh media antarabangsa sebagai kenyataan rasmi sebelum dapat membuat pengesahan mayat ataupun melakukan ujian DNA terhadap mayat terlebih dahulu,” katanya.

Bagaimanapun Ayob Khan berkata pihaknya percaya, jika benar Mahmud terbunuh, situasi itu sedikit-sebanyak akan melemahkan pergerakan kumpulan penganas di rantau ini yang memerlukan masa untuk mencari pemimpin baharu.

Pada Jumaat, Bernama melaporkan Kementerian Pertahanan masih menunggu pengesahan daripada Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung laporan kematian militan Malaysia itu.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata walaupun pihak berkuasa tertinggi Filipina telah mengesahkan kematian Mahmud,  BSPP ATM masih belum menerima laporan berhubung perkara ini.

Mengulas perkembangan berkaitan, Ayob Khan berkata usaha membanteras kegiatan kumpulan pengganas Daesh tidak wajar diletakkan pada bahu pihak polis semata-mata  sebaliknya perlu dipikul oleh semua pihak termasuk ibu bapa.

“Kesedaran masyarakat untuk melakukan pemerhatian terhadap perkara ini masih kurang dan ia perlu ditingkatkan  agar perkembangan idelogi songsang ini (Daesh) mampu disekat pada peringkat awal sebelum ia mempengaruhi generasi muda di negara ini,” katanya.

Beliau juga berpandangan jabatan agama perlu berada di barisan depan dan pihak polis hanya boleh mengambil tindakan jika ada anggota masyarakat yang melangkaui garisan keselamatan.

“Dalam perkara ini jabatan agama perlu memainkan peranan mengikut bidang kuasa yang ada dan tidak boleh teragak-agak mengambil tindakan,“ katanya yang mengusulkan agar jabatan agama bekerjasama dengan polis bagi menangani isu tersebut dengan lebih berkesan.

Ayob Khan turut mencadangkan jabatan agama  memantau kemasukan penceramah agama dari luar negara bagi mengelakkan merebaknya idelogi dan ajaran yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di Malaysia.

Mengulas satu lagi isu, Ayob Khan berkata polis akan memperhebat pemantauan keselamatan terhadap kecenderungan sebilangan etnik Rohingya di negara ini  menyertai The Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) yang dikhuatiri mampu menjejaskan keselamatan negara.

“Mereka (Rohingya) mungkin tidak mampu pergi berjuang ke Myanmar namun kita perlu mempunyai kerisauan jika mereka melakukan tindakan melanggar peraturan kea tas kepentingan Myanmar di Kuala Lumpur dan tidak boleh mengambil mudah dalam perkara ini,” katanya.- Bernama

Dr Mahmud Ahmad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain